‘Bersikap terbuka, mahabbah terima permohonan maaf’

0
28



Agama Islam menganjurkan sikap berkasih sayang dan kemaafan di atas sebarang keterlanjuran.

Justeru, kata Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil, parti itu menerima permohonan maaf akhbar The Star berhubung muka depan kontroversi akhbar berkenaan Sabtu lalu.

“Kami menggesa agar semua pihak bersikap terbuka dan mahabbah untuk menerima permohonan maaf tersebut.

“Ini kerana agama Islam menganjurkan sikap berkasih sayang dan kemaafan di atas keterlanjuran sesuatu perkara sebagai nilai penting Islam sebagai agama rahmat,” kata Faiz dalam satu kenyataan hari ini.

Halaman depan The Star pada 27 Mei lalu mencetuskan kemarahan orang ramai apabila ia menyiarkan gambar umat Islam sedang sembahyang pada muka depannya bersama laporan mengenai keganasan yang bertajuk Malaysian Terrorist Leader (Pemimpin Pengganas Malaysia).

Akhbar harian berbahasa Inggeris itu kemudiannya memohon maaf dan menjelaskan bahawa adalah menjadi amalan The Star menerbitkan gambar umat Islam menunaikan solat Tarawih di muka depan pada hari pertama Ramadan, kerana menghormati bulan mulia ini.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, beliau percaya bahawa insiden itu mampu menjadi pengajaran terbaik kepada semua pihak di negara ini untuk mempromosikan permuafakatan kaum dan agama sebagai agenda nasional.

Katanya, inibagi memastikan kemakmuran dan keamanan negara ini terus terpelihara.

“Sensitiviti kaum dan agama hendaklah sentiasa diutamakan. Justeru, kami percaya pihak media harus memainkan peranan penting menjayakan agenda ini.

“Pemuda AMANAH menentang sebarang tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atau mana-mana undang-undang drakonian yang menyekat kebebasan media terhadap akhbar The Star termasuk pengarang, wartawan atau jurufoto yang dikaitkan dengan berita tersebut,” katanya.

Beliau berkata, AMANAH juga mengambil pendirian bahawa keluhuran Perlembagaan dan undang-undang hendaklah dipelihara demi menyuburkan amalan demokrasi di dalam negara ini.

Polis hari ini merakamkan kenyataan daripada lima editor dan seorang jurugambar dari akhbar itu mengikut Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Ia berhubung dakwaan kesalahan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

[Baca berita penuh]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here