Bertaubatlah Umno, pulangkan duit rakyat

0
68



ULASAN | Pada Ramadan yang mulia ini, saya menggesa agar ketua-ketua bahagian Umno dan parti BN yang menerima wang daripada Datuk Seri Najib Razak agar memulangkan kembali wang tersebut keranan itu adalah duit rakyat Malaysia.

Pendedahan demi pendedahan menunjukkan pelbagai salah guna duit rakyat telah dilakukan oleh Umno dan BN secara terancang untuk memastikan mereka terus kekal berkuasa dan merompak wang rakyat.

Pada awal Mei lalu, Rafizi Ramli membuat pendedahan yang jelas mengenai penerima wang daripada akaun peribadi Najib dan mereka yang telah disebut tidak menafikannya.

Berdasarkan dokumen itu, ada lapan urus niaga yang boleh dikenal pasti terus bahawa penerimanya adalah bahagian-bahagian Umno sendiri, parti dalam BN atau individu yang merupakan pemegang jawatan dalam Umno.

Rafizi menyenaraikan penerima-penerima wang SRC International (yang bermula dari wang pencen rakyat) seperti yang terkandung dalam dokumen SPRMInsider yang berkait dengan Umno:

  • Pada 22 Julai 2014, BN Bandar Tun Razak dilaporkan menerima RM170,000 dari akaun peribadi Najib
  • Pada 22 Julai 2014, Umno (saya andaikan ini ibu pejabat Umno) dilaporkan menerima RM1.5 juta dari akaun Najib
  • Pada 24 Julai 2014 Umno Pulau Pinang dilaporkan menerima RM1 juta dari akaun peribadi Najib
  • Pada 26 Ogos 2014, Umno (saya andaikan ini ibu pejabat Umno) dilaporkan menerima RM5 juta dari akaun Najib

Wang ini datangnya dari syarikat SRC yang dipindahkan ke dalam beberapa syarikat lain sebelum sampai ke akaun peribadi Najib.

Pada Februari 2015, ada beberapa bayaran lagi dibuat kepada parti komponen BN atau tokoh/bahagian Umno seperti berikut:

  • Pada 17 Februari 2015 parti UPKO dilaporkan menerima RM1 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib. Nama naib presidennya, Datuk Dr Marcus Mojigoh disenaraikan sebagai individu yang bertanggungjawab
  • Pada 17 Februari 2015, seorang bernama Asmadi Talib dilaporkan menerima RM50,000 dari akaun peribadi Najib. Semakan mendapati Ketua Umno Padang Serai, Kedah adalah seseorang yang bernama Asmadi Talib
  • Pada 26 Februari 2015 Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang dilaporkan menerima RM1 juta dari akaun Najib
  • Pada 3 Mac 2015, Umno Bahagian Johor Bahru dilaporkan menerima RM300,000 dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib

Pembayaran pada Februari 2015 adalah lebih sensitif kerana pada Disember 2014, anak-anak syarikat Putra Perdana Berhad memasukkan wang sejumlah RM140 juta ke akaun SRC bagi menggantikan wang yang telah diambil beberapa bulan sebelum itu.

Pada Disember 2014 juga, Tabung Haji telah menyuntik sebanyak RM193.5 juta wang ke dalam kumpulan Putra Perdana Berhad.

Ini menimbulkan tanda tanya besar sama ada wang yang dipindahkan dari SRC ke akaun Najib selepas Disember 2014 adalah sebenarnya dana dari Tabung Haji, yang kemudiannya dilaporkan digunakan untuk membayar parti komponen BN seperti UPKO dan tokoh-tokoh/bahagian Umno yang lain.

Jumlah yang dipindahkan dari akaun Najib kepada tokoh-tokoh Umno, Umno sendiri dan parti-parti BN adalah sebanyak RM10,020,000 seperti senarai di atas.

Pada Ramadan yang mulia ini, saya mengajak rakan-rakan seislam dalam Umno khususnya, dan mereka yang beragama Islam lain agar memulangkan kembali wang ini kepada SRC, terutamanaya UPKO yang berkemungkinan besar menerima wang Tabung Haji untuk perbelanjaannya; jika mereka tidak dapat membuktikan mereka tidak menerima wang ini seperti yang didedahkan.


DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA ialah anggota parlimen Parit Buntar.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here