Bertha, badak air tertua dunia disah mati

0
15


MANILA: Bertha, dipercayai badak air tertua di dunia pada usia 65 tahun disahkan sudah mati, menurut kenyataan Zoo Manila, hari ini.

Pengarah zoo, James Dichaves berkata, badak air betina seberat 2.5 tan yang berjaya mengatasi jangka hayat kebanyakan mamalia yang makan tumbuhan, ditemui mati dalam kurungan, Jumaat lalu.

Beliau menambah, bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah kerana kegagalan pada beberapa organ.

“Bertha adalah antara beberapa haiwan perintis di sini. Pasangannya mati pada 1980-an dan kedua-dua haiwan itu gagal melahirkan anak,” katanya kepada AFP.

Bertha tiba di zoo ibu negara Filipina itu pada 1959 ketika berusia tujuh tahun dan difahamkan, pihak zoo sudah hilang rekod mengenai negara asalnya.

Dichaves memaklumkan haiwan itu diberi makan rumput, buah-buahan dan roti. Jangka hayatnya dikatakan mengatasi spesis sama iaitu di antara 40 dan 50 tahun di alam liar dan juga dalam kurungan.

Pegawai zoo percaya Bertha adalah badak air dalam kurungan paling tua di dunia sebelum ia mati.

Satu lagi badak air, Donna mati pada 2012 ketika berusia 62 tahun di Zoo dan Taman Botanik Mesker Park di Evansville, Indiana.

Badak air liar di negara sub Sahara Afrika berdepan risiko tinggi kepupusan disebabkan kehilangan habitat, pemburuan untuk daging dan sumbunya, kata Kesatuan Pemeliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa di Switzerland. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here