Beyonce, UNICEF umum kerjasama BEYGOOD4BURUNDI

0
201
Advertisement


IKON pop, Beyonce. – Foto fail Reuters

NEW YORK: Ikon pop, Beyonce dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), semalam mengumumkan kerjasama untuk meningkatkan kemudahan pendidikan, bekalan air dan sanitasi di Burundi.

“Projek BEYGOOD4BURUNDI akan membantu usaha membina lebih banyak telaga, meningkatkan kemudahan pendidikan mengenai kebersihan air dan sanitasi di sekolah.

“Dua daripada lima orang di Burundi di Afrika Timur tidak mempunyai akses kepada bekalan air bersih, menyebabkan penyakit berkaitan air dan sanitasi menjadi antara punca utama kematian kanak-kanak negara yang mempunyai 12 juta penduduk,” kata UNICEF dan Beyonce dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam talian.

Menurut UNICEF, satu daripada 12 kanak-kanak di Burundi meninggal dunia sebelum mencecah usia lima tahun.

“Akses kepada bekalan air adalah hak asas. Apabila kita memberi kemudahan air yang bersih dan selamat kepada kanak-kanak, kita bukan sahaja memberi mereka satu kehidupan, tetapi juga kesihatan, pendidikan dan masa depan yang lebih cerah,” kata Beyonce, 35, dalam satu kenyataan.

FASA pertama BEYGOOD4BURUNDI akan memberi tumpuan kepada empat kawasan di luar bandar Burundi.

Beyonce berkata, lebih dua juta penduduk di Burundi menghabiskan masa kira-kira 30 minit sehari untuk menyimpan air dan ia memaksa kanak-kanak tidak hadir ke sekolah, selain membahayakan kanak-kanak perempuan kerana kebanyakan telaga terletak jauh dari kediaman mereka.

“Kerjasama unik ini menggabungkan kepakaran yang dimiliki UNICEF sejak berdekad lamanya dalam menyediakan kemudahan air bersih kepada kanak-kanak di Burundi dan di seluruh dunia dengan pengaruh dan kuasa dunia hiburan,” kata Ketua Eksekutif UNICEF Amerika Syarikat, Caryl Stern dalam satu kenyataan.

Sementara itu, kedua-dua pihak, iaitu UNICEF dan wakil Beyonce enggan mengulas lanjut mengenai jumlah sumbangan yang diberikan oleh penyanyi itu bagi melaksanakan projek air berkenaan.

Fasa pertama BEYGOOD4BURUNDI akan memberi tumpuan kepada empat kawasan di luar bandar negara itu yang terjejas akibat kekacauan dan keganasan awam, selain masalah kemarau dan kekurangan zat makanan.

– Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here