"Biar sampai 'terkeluar lidah', tuntutan Filipina terhadap Sabah tidak akan dilayan" – Anifah

0
80
Advertisement

KOTA KINABALU: Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan tuntutan negara Filipina ke atas Sabah tidak akan dilayan sama sekali oleh Malaysia hatta mereka ‘terkeluar lidah’ sekalipun.

Menurut Anifah, sekiranya tuntutan ini dilayan,i a boleh dilihat sebagai petanda kerajaan sedia ada bersetuju terhadap tuntutan itu dan beliau turut menegaskan tidak akan mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak dari negara berkenaan bagi membincangkan perkara terbabit.

Jelasnya, negara ini tetap berpegang teguh kepada pengiktirafan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa di mana Sabah adalah sebahagian dari Malaysia sejak persekutuan ini ditubuhkan pada 16 September 1963.

“Kita tidak mengiktiraf sebarang tuntutan yang dilakukan oleh mana-mana negara, kita tidak menghalang mereka daripada membuat tuntutan itu, biarlah mereka menuntut sehingga lidah panjang mereka keluar memandangkan mereka telah lama membuat tuntutan,” katanya selepas membuat pertemuan tertutup dengan bloger-bloger media sosial tempatan di Kota Kinabalu, hari ini.

Anifah turut menyatakan, terdapat juga segelintir pemimpin pembangkang yang menyelar tindakan kerajaan yang seolah-olah membisu terhadap perkara itu namun Anifah menjelaskan, perkara terbabit tidak perlu dibicarakan ke peringkat antarabangsa kerana ia seakan mengiyakan lagi tuntutan berkenaan.

Terdahulu, isu tuntutan yang terbaru terhadap Sabah ini timbul susulan salah seorang ahli jawatankuasa perundingan Filipina, Aquilino Pimentel Jr. yang mendakwa mahu memasukkan Negeri Sabah di dalam negara republik berkenaan dalam satu temu bual bersama sebuah agensi berita, baru-baru ini.

Sementara itu, dalam pertemuan berkenaan Anifah turut membayangkan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63) wajar dimasukkan sebagai manifesto Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) termasuklah 40 peratus hak istimewa rakyat Sabah.

“Dengan sikap terbuka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersedia mendengar tuntutan rakyat Sabah, saya rasa kita akan mendapat maklum balas yang positif dalam usaha kita untuk mendapatkan kembali hak yang sepatutnya menjadi milik kita,” katanya.

Dalam pada itu, Anifah turut menempelak tindakan mantan perdana menteri sebelum ini yang dalam pemerintahan selama 22 tahunnya tidak pernah mengambil berat berhubung isu di Sabah terutama mengenai MA63.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here