Bibi redha nasib TRW

0
355
Advertisement



KUALA LUMPUR: Juara Liga Super dua kali, Kelantan kini berdepan ‘misi mustahil’ untuk terus kekal bersaing dalam kancah elit itu musim depan.

Tatkala hanya berbaki tiga perlawanan, skuad The Red Warriors (TRW) kini menghuni tangga ke-10 selepas memungut 15 mata dan ketinggalan enam mata di belakang pasukan di tangga kesembilan, Kuala Lumpur.

Meskipun beraksi lewat dua hari berbanding Kuala Lumpur, kegagalan mereka menewaskan juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menyaksikan mereka sudah sebelah kaki ke saingan divisyen dua itu.

Lebih malang, jika skuad ‘The Hawks’ mengutip sekurang-kurangnya satu mata ke atas Perak malam ini dan Kelantan tunduk di tangan JDT pada Jumaat, mereka sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan bagaimanapun sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk penyingkiran dan menggesa pasukan itu supaya tidak berputus asa.

“Apapun keadaan pasukan ketika ini, saya sudah bersedia dan saya juga sudah berjumpa dengan pemain supaya mereka dapat terus memberikan yang terbaik dalam baki perlawanan pada musim ini.

“Mereka perlu bekerja keras kerana membabitkan masa depan pasukan dan pemain sendiri. Hanya pemain sahaja yang boleh berikhtiar supaya Kelantan dapat terus kekal dalam Liga Super.

“Mereka semua pemain berbakat dan kalau Kelantan terus beraksi di Liga Super, sudah tentu ia akan membantu pemain untuk terus meningkatkan prestasi permainan mereka,” katanya.

Kelantan merangkul dua kejuaraan Liga Super pada 2011 dan 2012 sebelum kejuaraan liga ‘terbang’ ke seberang tambak apabila dimenangi Lions XII dan trofi akhirnya terus kekal di selatan selepas JDT menjuarainya lima kali berturut-turut.

Mengulas lanjut perkembangan pengurusan pasukan itu, Bibi menjelaskan fokus utamanya adalah membabitkan kedudukan kewangan dan pelesenan kelab.

“Bagi saya, dua perkara ini adalah paling utama kerana di mana pun kedudukan kita, kita tetap memerlukan lesen.

“Justeru, keutamaan diberikan kepada dua aspek ini dan juga tunggakan berkaitan yang perlu dijelaskan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here