Binatang liar antara korban kesan peperangan berlanjutan di Afrika

0
22
Advertisement

NEW JERSEY: Penurunan populasi hidupan liar seperti gajah, badak, badak sumbu dan spesis mamalia besar lain menurun dengan mendadak apabila berlaku konflik dan peperangan.

Demikian menurut satu kajian dijalankan Universiti Princeton, diketuai Josh Daskin, yang menganalisis setengah juta populasi binatang Afrika sejak 1946.

Ia mendapati, peperangan merupakan faktor terbesar yang menentukan sama ada populasi binatang di sesuatu kawasan akan bertambah atau berkurangan.

Lebih dari 70 peratus kawasan perlindungan binatang liar di Afrika berada di zon perang sejak tahun 1946 dan kebanyakannya berulang kali.

Penyelidikan itu turut memaklumkan bahawa lebih kerap sesuatu kawasan itu dilanda peperangan, lebih tinggi kadar kepupusan haiwan di situ.

Kajian yang diterbitkan jurnal Nature pada Rabu itu turut menunjukkan kawasan yang merekodkan kadar pertempuran berulang kali mempunyai kadar kepupusan haiwan sebanyak 35 peratus setiap tahun.

Malah, setiap satu konflik yang berlaku memulakan proses penurunan populasi selama 20 tahun.

Dr Margharet Kinnaird, pemimpin Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF) Antarabangsa berkata, kajian itu menyumbang kepada pemahaman dunia mengenai kesan peperangan terhadap haiwan liar meskipun ia tinggal di kawasan perlindungan.

Menurut Kinnaird, herbivor bersaiz besar sangat mudah terancam di zon perang dan diikuti binatang dengan nilai komersial yang bahagian badannya boleh dijual di pasaran haram.

Kajian-kajian lain sejak tahun sebelumnya turut melihat zon perang secara individu dan mendapati bilangan populasi haiwan menurun mendadak namun kajian yang baru diterbitkan ini adalah yang pertama melihat isu ini di seluruh benua dan sepanjang lebih 50 tahun untuk membuktikan teori-teori sebelumnya.

Para pengkaji turut mendapati bahawa hampir setiap kali, spesis haiwan terlibat akan hidup meskipun populasinya menurun.

Namun, masih ada sekurang-kurangnya enam insiden di mana populasi haiwan lenyap sepenuhnya seperti apa yang berlaku kepada zirafah di taman di Uganda pada 1983 dan 1995.

Sesetengah binatang terbunuh kerana tembakan rambang dan bom, dan menurut kajian tersebut, perubahan situasi ekonomi dan sosial penduduk tempatan turut memberi kesan.

Penduduk yang tinggal di kawasan perang didapati mengalami kebuluran dan kemiskinan.

Kebanyakan mereka menjadi pemburu haram dan cuba untuk menjual organ binatang-binatang bernilai di samping mengambil daging mereka sebagai makanan.

Kini, hanya ada seekor badak putih jantan yang masih wujud di dunia. Dinamakan Sudan, binatang ini dilindungi oleh pengawal bersenjata di Nanyuki, Kenya, dan didapati sudah terlalu tua untuk mengawan.

Ahli konservasi sedang berusaha untuk mencari dana untuk rawatan pembedahan in vitro (IVF) bagi menyimpan benih spesis ini.

Badak Afrika adalah binatang asal negara seperti Sudan Selatan, Congo, Republik Afrika Tengah dan Chad. Ini juga adalah negara-negara yang pernah mengalami episod peperangan berdarah di mana sebarang usaha konservasi hidupan liar adalah sia-sia.

Sewaktu peperangan, program konservasi terjejas teruk kerana tiada dana yang dapat disumbangkan. Malah pekerja konservasi dan penyelidik menjadi mangsa serangan pemburu haram yang terdesak.

Sewaktu konflik berterusan di Republik Afrika Tengah, sektor pelancongan negara itu terjejas teruk dan haiwan liar seperti gajah diburu dengan pesat untuk gadingnya oleh kumpulan bersenjata.

Bagaimanapun, masih ada harapan untuk haiwan liar di benua Afrika.

Penulis kajian itu turut menyebut kisah di Mozambique di mana haiwan liar kembali semula secara semulajadi ke Taman Nasional Gorongosa selepas peperangan berakhir.

Dari tahun 1977 hingga 1992, perang berterusan di antara tentera pemberontak dengan kerajaan telah menjejaskan taman nasional tersebut menyebabkan 95 peratus haiwan yang tinggal di situ terbunuh.

Sesetengah spesis hampir pupus namun masih ada sebilangan kecil yang masih hidup pada waktu perang ditamatkan.

Kini, hidupan liar di taman itu telah mencapai 80 peratus jumlah asal sebelum perang bermula.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here