Bincang jawapan Qatar hari ini

0
15



ARAB SAUDI dan sekutunya akan bermesyuarat di Mesir, hari ini selepas menerima jawapan rasmi daripada Qatar berhubung senarai tuntutan mereka.

Menteri Luar Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir akan bertemu di Kaherah, 11 pagi GMT (7 malam waktu Malaysia), hari ini untuk berbincang langkah seterusnya.

Arab Saudi hari ini mengesahkan sudah menerima jawapan rasmi Qatar terhadap senarai tuntutan yang dikatakan Doha sebagai “tidak realistik” dan “mustahil untuk ditunaikan.”

Kementerian Luar Arab Saudi menerusi Twitter berkata, Menterinya, Adel al-Jubeir menerima jawapan rasmi berhubung tuntutan itu daripada Menteri Kuwait, Sheikh Mohammad Abdullah Al-Sabah dalam perjumpaan di Jeddah.

“Empat negara sudah menerima jawapan Qatar menerusi Kuwait sebelum tamat tempoh tambahan yang diberikan. Dan kami akan memberi balasan pada masa yang berpatutan,” katanya.

Jawapan Qatar itu disampaikan kepada Kuwait Isnin lalu, beberapa jam selepas empat negara Arab berkenaan bersetuju menerima gesaan Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah supaya tempoh akhir 10 hari yang diberikan kepada Qatar dilanjutkan 48 jam lagi.

Antara tuntuan pakatan Saudi itu termasuk Qatar mengakhiri sokongannya kepada Ikhwanul Muslimin, menutup stesen penyiaran Al-Jazeera, menurunkan hubungan diplomatik dengan Iran serta menutup sebuah pangkalan tentera Turki di negara itu.

Arab Saudi dan sekutunya memutuskan hubungan dengan Qatar 5 Jun lalu, sekali gus mencetuskan krisis diplomatik paling buruk di rantau itu sejak puluhan tahun lalu.

Mereka menuduh Doha menyokong fahaman pelampau dan terlalu rapat dengan musuh ketat Saudi, Iran. Tuduhan itu disangkal Qatar.

Berita berkaitan:

Qatar jawab tuntutan pakatan diketuai Saudi

48 jam lagi untuk Qatar

Terus dasar berkecuali

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here