Bincang naik gaji

0
42



Kuala Lumpur : Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengutus surat kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa minggu depan bagi mencari tarikh sesuai membincangkan kenaikan gaji asas penjawat awam sebanyak tiga peratus dalam Bajet 2018.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, pihaknya menyambut baik kesudian KSN untuk menemui mereka bagi mempertimbangkan permintaan itu atas pelbagai faktor terutama kenaikan kos sara hidup.

Katanya, keutamaan mereka adalah bagi menambah kenaikan gaji 62,000 penjawat awam dalam kategori B40 yang kebanyakannya masih belum memiliki rumah sendiri.

“Nisbah kenaikan gaji tahunan penjawat awam tidak seimbang dengan kenaikan harga barangan keperluan harian, malah harga rumah sentiasa naik mendadak antara 10 hingga 30 peratus setahun.

“Memang kerajaan ada sediakan Rumah Mampu Milik (RMM), tapi penjawat awam terpaksa bersaing dengan orang ramai yang tidak mempunyai kerja tetap dan faktor lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, jika diukur dengan perbelanjaan isi rumah, purata kenaikan gaji tiga peratus yang diminta masih tidak mencukupi, tetapi ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban ditanggung mereka.

Beliau juga meminta masyarakat dan kerajaan memahami cabaran dihadapi mereka serta tidak melihatnya secara emosi sambil menyifatkan permintaan kenaikan gaji adalah perkara logik bagi penjawat awam bagi menampung perbelanjaan keluarga.

“Takkanlah kita hendak minta permit import (AP) pula. Permintaan ini bukan hendak bebankan kerajaan, tetapi produktiviti penjawat awam lahir daripada mereka yang seronok bekerja seperti menerima upah setimpal,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here