'Bintang' Macron

0
44



Paris: Parti pimpinan Presiden Perancis Emmanuel Macron dibayangkan mampu menang besar dalam pilihan raya Parlimen susulan pusingan pertama undian, kelmarin, yang mengakibatkan parti tradisi negara itu kucar-kacir.

Ramalan menunjukkan Macron semakin memperluas ‘revolusi sentris’ dibawanya dengan partinya, Republique en Marche (REM) dan sekutunya MoDem dijangka menang antara 400 hingga 445 kerusi dalam Perhimpunan Kebangsaan dengan 577 ahli pada pusingan kedua, Sabtu ini.

Jika benar, ini bererti Macron akan mendapat majoriti Parlimen terbesar dalam tempoh 60 tahun.

Perdana Menteri Edouard Phillipe berkata: “Perancis kini kembali. Sejak sebulan lalu, presiden menunjukkan keyakinan, kesanggupan dan keberaniannya di sini dan di peringkat antarabangsa.

“Nyata strateginya mampu membawa kemenangan.”

Bagaimanapun, jumlah pengundi amat rendah, cuma 49 peratus yang dianggap penganalisis disebabkan kepasrahan pengundi calon lawan tidak mengundi kerana menerima hakikat kekuatan sokongan terhadap presiden itu.

Parti Republikan yang berharap memperbaiki keadaan selepas kalah teruk dalam pilihan raya presiden menduduki tempat kedua dengan jangkaan mendapat 70 hingga 130 kerusi.

Sementara itu, kumpulan berhaluan kanan pimpinan Marine Le Pen, Barisan Kebangsaan (FN) dijangka mendapat hanya satu hingga 10 kerusi.

Ramalan untuk FN menunjukkan parti itu masih sukar bangkit daripada kekalahan teruk Marine kepada Macron dalam pilihan raya presiden.

Timbalan pemimpin FN, Florian Philippot mengaku kecewa dan menggesa pengundinya keluar beramai-ramai untuk pusingan kedua.

Bagaimanapun, kekalahan paling teruk dialami Parti Socialist mantan presiden Francois Hollande yang dijangka hilang 200 kerusi.

Susulan itu, ketua parti berkenaan, Jean-Christophe Cambadelis menggesa orang ramai mengundi untuk lawan Macron bagi mengelak presiden itu memonopoli kuasa.

Jika tiada calon yang menang lebih 50 peratus, dua lawan teratas akan memasuki pusingan kedua bersama calon lain yang mendapat sekurang-kurangnya 12.5 peratus undian di daerahnya.

Macron yang pada usia 39 tahun menjadi presiden termuda Perancis, dipuji kerana melantik Kabinet yang seimbang selain berani menyatakan pendirian mengetuai pemimpin Eropah terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam isu perubahan iklim.

Jika kemenangannya seperti diramalkan minggu depan, dia akan memiliki mandat kuat untuk membawa pembaharuan berani untuk pekerja, ekonomi dan sosial yang dijanjikan ketika kempennya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here