‘Blok ketiga PAS dapat sokongan ratusan NGO, tokoh korporat’

0
77



MUKTAMAR l Jika semalam, PAS mengesahkan akan menjadi blok ketiga pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) akan datang, hari ini, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendedahkan parti itu mendapat sokongan padu daripada ratusan NGO dan juga tokoh korporat.

“Bersama kita ada lebih 300 NGO yang telah bersetuju untuk beri komitmen, termasuk NGO bukan Islam. Kita adalah blok ketiga.

“Kita ada parti lain yang bersama kita, saya tak boleh umum lagi. Ada tokoh korporat juga yang sedia buat perbezaan,” katanya pada sidang media selepas kuliah Duha di Muasasah Darul Ulum, di Alor Setar, Kedah hari ini.

Tuan Ibrahim juga mendedahkan PAS sedang mensasarkan Kedah pada pilihan raya umum akan datang, memandangkan negeri berkenaan pernah dimenangi mereka sebelum ini.

“Kedah antara negeri yang difokus PAS kerana dari segi jumlah kerusi, tradisinya melebihi parti lain serta asas kekuatannya kerana ia negeri yang pernah dimenangi PAS.

“Itu antara fokus kita, yang penting momentum kita juga perlu tersusun. Justeru kita yakin Kedah mampu wujud perbezaan.

“Rakyat Kedah sudah boleh buat perbandingan antara pemerintahan PAS dan BN dan kita yakin sokongan rakyat terhadap PAS masih kuat di negeri ini.

“Rakyat Kedah mampu beri kemenangan (kepada PAS),” katanya.

Henti kait nama Nik Aziz

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan Parti Amanah Negara (AMANAH) kini yang dilihat cuba menggunakan populariti tokoh PAS, beliau berkata jika sesebuah parti sudah kuat, mereka tidak perlu bergantung kepada orang lain.

“Orang kuat tak bergantung kepada orang lain. Lagi-lagi pada orang yang sudah meninggal dunia,” katanya ringkas.

“Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz” anjuran Parti Amanah Negara (AMANAH) pada awal bulan ini menimbulkan kontroversi apabila PAS mendakwa parti sepihannya itu melakukan jenayah intelek.

Ini menimbulkan pertikaman lidah yang hanagat dan berpanjangan di anatara kedua-dua pihak.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim meminta parti serpihan PAS itu untuk tidak terus mengaitkan bekas nama pemimpin PAS terutama Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semata-mata untuk meraih populariti dan sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 ini.

“AMANAH, kalau mahu bertanding (pada PRU) nanti janganlah bertanding di tempat yang PAS akan bertanding kerana ini akan memberikan tongkat kepada BN,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata PAS mengharapkan agar anggota AMANAH kembali kepada PAS bagi menguatkan parti berteraskan Islam itu terutama dalam misi mengekalkan Kelantan dan merampas kembali Kedah.

Mengenai tindakan perwakilan pada muktamar kali ini yang agresif meminta untuk memutuskan hubungan dengan PKR, Tuan Ibrahim berkata PAS bersikap terbuka mendengar keluhan akar umbinya.

“Apa yang mereka katakan ialah reaksi apa yang berlaku. PAS tidak pernah menyekat mana-mana kawasan untuk berbincang.

“Cuma dalam parti, kita kena rujuk Majlis Syura Ulama dan parti kena putuskan. Kita terbuka untuk perbahasan,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here