Blues gagal pikat Golovin

0
150
Advertisement



LONDON: Chelsea gagal mendapatkan khidmat Aleksandr Golovin selepas pemain CSKA Moscow itu memilih Monaco sebagai destinasi baru dengan pemain antarabangsa Russia itu dijangka diperkenalkan dalam satu sesi esok.

Pemain yang berharga €30 juta (RM142 juta) itu akan menjalani ujian perubatan hari ini dan menandatangani kontrak lima tahun.

Golovin yang diramal menjadi bintang masa depan hampir menyertai The Blues selepas kelab Russia itu bersedia untuk melepaskannya.

Russia mempamerkan aksi di luar jangkaan ketika mereka menjadi tuan rumah Piala Dunia dengan Golovin menjadi kunci kepada kemaraan pasukan itu sehingga ke peringkat suku akhir sekali gus meningkatkan nilai pemain itu di pasaran.

Golovin dikatakan telah mengadakan rundingan lanjut bersama Chelsea sehingga memaksa Juventus menarik diri daripada persaingan.

Bagaimanapun, keputusan Chelsea membawa masuk seorang lagi pemain tengah, Jorginho dari Napoli mencetuskan keresahan Golovin mengenai kedudukannya dalam kesebelasan utama The Blues yang dikendalikan jurulatih baharu, Maurizio Sarri.

Pada masa sama tawaran Monaco lebih memikat dengan kelab Ligue 1 itu memberi jaminan tempat dalam kesebelasan utama dan lebih masa beraksi di atas padang membuatkan pemain Russia itu menukar fikiran dengan menerima tawaran Monaco.

Chelsea yang masih berminat mendapatkan Golovin walaupun sudah memiliki Jorginho kini terpaksa mencari alternatif lain untuk memperkuatkan bahagian tengahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here