BNM kekalkan OPR pada 3.0 peratus

0
41

KUALA LUMPUR: Kadar Dasar Semalaman (OPR) telah dikekalkan pada tiga peratus oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM dalam satu kenyataan, berkata pada paras semasa OPR, pendirian dasar monetari adalah akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi.

BNM telah mengekalkan kadar faedah utama pada tiga peratus sejak 13 Julai 2016.

“Pasaran kewangan domestik terus berdaya tahan. Ringgit kekal stabil berikutan permintaan dan penawaran mata wang asing yang lebih seimbang disebabkan pelaksanaan langkah-langkah pembangunan dua pasaran kewangan,” kata BNM.

Katanya, mudah tunai sistem perbankan kekal mencukupi dengan institusi-institusi kewangan terus beroperasi dengan pemampan modal serta mudah tunai yang kukuh.

“Pertumbuhan pembiayaan kepada sektor swasta meningkat selaras dengan kadar aktiviti ekonomi. Inflasi dijangka terus mengalami penurunan pada separuh kedua tahun ini. Ini mencerminkan terutamanya kesan faktor kos global yang semakin berkurangan.

“Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, akan dapat dikekalkan oleh permintaan domestik yang lebih kukuh, tetapi dijangka terkawal,” kata BNM.

Kadar inflasi secara keseluruhannya menurun kepada 3.9 peratus pada bulan Mei, disebabkan oleh penyusutan harga bahan api tempatan pada bulan itu.

Ekonomi Malaysia menunjukkan prestasi lebih baik daripada jangkaan dalam suku pertama 2017. Pertumbuhan ini telah disokong oleh permintaan dalam negeri yang lebih baik dengan dorongan tambahan daripada eksport.

BNM ketika bercakap mengenai prospek, memberitahu prospek pertumbuhan global yang lebih baik juga akan meningkatkan prestasi eksport selain memberikan kesan yang positif kepada ekonomi domestik.

“Penggunaan swasta akan meningkat berikutan peningkatan upah dan guna tenaga. Prospek pelaburan pula dijangka positif, hasil daripada perlaksanaan projek-projek infrastruktur baharu dan yang sedang giat dijalankan, serta penambahan kapasiti pengeluaran dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. Secara keseluruhan, ekonomi dijangka mencatat pertumbuhan yang lebih tinggi pada tahun 2017.

“Ekonomi global terus bertambah baik dengan pertumbuhan yang lebih selaras merentasi negara-negara lain. Aktiviti perindustrian dan perdagangan global telah melebihi unjuran awal. Di negara-negara maju, peningkatan menyeluruh dalam pelaburan, di tengah-tengah pertumbuhan penggunaan telah menaikkan prospek pertumbuhan” katanya..

Menurut BNM lagi, di Asia, pertumbuhan akan dipacu oleh aktiviti dalam negeri dan permintaan luar yang lebih kukuh.

Risiko kepada prospek pertumbuhan global mungkin akan muncul daripada ketidakpastian mengenai dasar dan politik dalam ekonomi utama, geopolitik serta pembangunan pasaran kewangan termasuk ketidakstabilan harga komoditi,” katanya

– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here