BNM, Menteri Kewangan luluskan cadangan penyusunan semula STMB

0
24

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Menteri Kewangan pada dasarnya memberi kelulusan kepada Syarikat Takaful Malaysia Bhd (STMB) bagi cadangan penyusunan semula.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, STMB berkata, Menteri Kewangan pada dasarnya meluluskan pemberian lesen perniagaan takaful keluarga kepada STMB di bawah nama baharu syarikat, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (STMKB), tertakluk kepada Seksyen 10 (4) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Kementerian itu turut memberi lesen perniagaan takaful am kepada syarikat baharu, yang akan menjadi unit milik penuh STMKB, iaitu Syarikat Takaful Malaysia Am Bhd (STMAB), menurut STMB.

“Pemberian kelulusan itu tertakluk kepada kesediaan operasi dan sistem pemegang lesen tunggal sebaik sahaja Skim Pindahan selesai, iaitu sijil lesen perniagaan takaful keluarga baharu akan diberikan kepadaSTMKB dan sijil lesen perniagaan takaful am baharu akan diberikan kepada STMKB, bagi pertukaran sijillesen takaful komposit semasa,” menurutnya.

STMB berkata, BNM pula meluluskan pemindahan perniagaan takaful am STMB kepada STMAB di bawah Skim Pindahan tertakluk kepada Seksyen 112 (1) akta yang sama dengan syarat STMB mematuhi semua keperluan kawal selia yang ditetapkan.

STMB berkata, struktur korporat syarikat selepas cadangan penyusunan semula selesai akan membolehkan kumpulan itu merealisasikan strategi perniagaannya bagi mengekalkan barisan perniagaan semasa, melancarkan perluasan kepada barisan perniagaan baharu pada jangka panjang.

Pada masa sama, langkah tersebut juga akan selaras dengan tanggungjawab kumpulan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, menurut syarikat itu.

“Cadangan penyusunan semula itu dijangka menyumbang secara positif kepada prospek kumpulan STMB sebaik sahaja merealisasikan pertumbuhan perniagaan dari pelan perniagaan sedia ada dan strategi syarikat untuk perniagaan takaful keluarga dan am pada masa depan,” menurut STMB.

Cadangan penyusunan semula itu dijangka dapat diselesaikan menjelang suku kedua 2018.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here