Boleh tarik diri lagi

0
14
Advertisement



KEDUA-DUA calon Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada sesi pemilihan Julai ini masih berpeluang menarik diri bagi memberi laluan kepada seorang daripada mereka.

Pemangku Presiden yang juga Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, berkata walaupun Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Hamidin Mohd Amin sudah disahkan bertanding namun masih ada ruang untuk mereka menarik diri bagi membolehkan tiada pertandingan.

Katanya, dia juga yakin ada calon menarik diri disebabkan majoriti persatuan memilih Hamidin (18 pencalonan) dan hanya satu pencalonan buat Annuar.

“Bagaimanapun ia bukan menggambarkan jumlah pengundian sebenar dan kesemua mereka berpeluang untuk menang. Pada dasarnya sudah menampakkan sokongan kuat buat Hamidin.

“Malah situasi seperti ini pernah berlaku tahun lalu dengan Annuar menarik diri pada saat akhir untuk membuka ruang kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) memimpin FAM,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan sebarang usaha calon untuk menarik diri bagi memastikan pemilihan dan pengalihan kepimpinan berjalan lancar.

Namun jika tiada penarikan diri, nasib mereka terletak di bahu perwakilan yang akan menentukan siapa presiden baharu FAM kali ini.

FAM mengesahkan menerima borang pencalonan Annuar semalam sekali gus menyaksikan pertandingan satu lawan satu berikutan penarikan diri Pengerusi Institut Sukan Negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang menghantar surat penolakan menerima pencalonan.

Sebelum ini, ramai meramalkan Hamidin yang juga Setiausaha Agung FAM bakal memenangi pertandingan terbabit berikutan pengalaman luasnya dalam  pentadbiran organisasi berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here