Britain 'berang' Amerika Syarikat bocor maklumat

0
52


MENTERI Dalam Negeri Britain, Amber Rudd. – Foto AFP

LONDON: Kementerian Dalam Negeri Britain berang dengan rakan sejawat mereka di Amerika Syarikat (AS) susulan kebocoran maklumat mengenai serangan bom di Manchester.

Menteri Dalam Negeri Britain, Amber Rudd menyelar Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS dan lain-lain cawangan perisikan selepas identiti pengebom dan butiran lain didedahkan kepada media sebelum Britain sedia berbuat demikian.

Bagaimanapun, akhbar The New York Times sekali lagi bertindak mendahului pihak berkuasa Britain dan media lain dengan menyiarkan gambar sisa bom di tempat kejadian.

Difahamkan gambar itu diambil oleh penyiasat polis dan menurut sumber kerajaan Britain, maklumat itu adalah antara yang dikongsikan dengan pihak AS.

“Kami marah. Ia sama sekali tidak boleh diterima. Gambar yang bocor daripada sistem AS akan menjejaskan mangsa, keluarga mereka dan orang awam.

“Isu ini perlu dibangkitkan pada setiap peringkat oleh pihak berkuasa British dengan rakan mereka di AS,” kata sumber Kementerian Dalam Negeri.

Insiden itu dipercayai akan mewujudkan keadaan janggal antara Perdana Menteri Britain, Theresa May dan Presiden AS, Donald Trump pada Persidangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Brussels, esok.

AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here