Buah beruas masam tapi sedap

0
80



Pokok beruas atau manggis hutan sejenis tumbuhan yang terdapat di hutan Malaysia dan negara ASEAN lain.

Pokok ini mudah hidup di tanah berpasir dan berbatu. Banyak terdapat di pantai timur Semenanjung iaitu Pahang, Terengganu serta Kelantan.

Ia berbunga dan berbuah, tapi tidak mengikut musim. Kadang-kadang pada pokok yang sama terdapat bunga dan buah yang sudah masak.

Pokok beruas membiak secara semula jadi iaitu dengan bijinya. Pokoknya bersaiz kecil dan mencapai ketinggian 4 hingga 6 meter (m).

Batang pokok ini lurus tegak dengan dahan yang banyak bercabang. Kulit batangnya berwarna kelabu dan tanggal seperti kepingan nipis berbentuk bujur memanjang.

Pokok beruas seakan-akan sama dengan pokok manggis, tetapi getahnya berwarna putih, bunga dan buahnya lebih kecil daripada buah manggis.

Buah beruas berbentuk bulat iaitu lebarnya berukuran hingga 5 sentimeter (cm). Buahnya berwarna merah atau jingga cerah.

Buah yang sudah matang kelihatan seperti buah manggis kecuali isinya berwarna kuning, nipis dan masam, namun sedap dimakan.

Ia sedap dimakan segar. Isinya yang nipis, beraroma dan masam juga boleh diproses untuk dijadikan jus serta agar-agar.

Buah beruas juga mempunyai nilai perubatan tradisional yang tersendiri. Bahagian yang digunakan ialah buah, akar dan daun.

Nama pekan Beruas, Perak diambil daripada nama pokok ini. Pekan Beruas pada awalnya bermula dari satu kawasan bernama Belukar Sambang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here