Budak 2 tahun 'beli' pil kurus

0
49



Kuala Lumpur: Maklumat kanak-kanak berusia dua tahun sengaja diguna pakai ‘doktor tamak‘ bagi mengaburi kegiatan menjual pil psikotropik secara haram kepada sindiket dadah.

Itu antara taktik dikesan Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap salah sebuah klinik swasta beroperasi di Petaling Jaya, Selangor.

Siasatan mendapati pemilik klinik membekalkan pil kurus Phentermine secara haram kepada individu tertentu sebelum pil itu dipasarkan kepada penagih dadah sintetik.

“Siasatan audit dilakukan susulan kejadian BPF memberkas enam ‘tokan’ yang mendapatkan bekalan dan membeli lebih 11,000 pil psikotropik itu dari semua klinik swasta terbabit pada awal Jun lalu,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan bagi mengesan bukti penyelewengan melalui buku rekod pesakit serta rekod pembelian dari pembekal.

“Ternyata kami mendapati ada antara rekod pesakit itu adalah palsu. Ada antara nama pesakit tidak wujud di dalam sistem komputer klinik pada tarikh penyerahan pil itu.

“Lebih mengejutkan apabila terdapat nama pesakit berusia dua tahun direkodkan mendapatkan bekalan pil kurus itu. Ini jelas tidak masuk akal,” katanya.

Dia berkata, kegiatan itu bagaimanapun sukar disangkal apabila pegawai BPF mendapati sebanyak 2,250 pil Phentermine yang baru dibeli dari syarikat pembekal ‘ghaib’ dari dalam klinik itu.

“Dalam kes berasingan, seorang doktor klinik yang disiasat di Ampang Jaya turut dikesan sengaja meletakkan nama pesakit yang tidak wujud di dalam buku rekod.

“Doktor klinik itu dikesan melakukan jualan pil psikotropik di kaunter tanpa perlu pesakit menemuinya. Malah dia dikesan mula membekalkan pil psikotropik kepada ‘tokan’ sejak tahun lalu,” katanya.

Dia berkata, sebuah klinik di Kajang, Selangor, turut bersekongkol dengan ‘tokan’ yang turut membekalkan nama pesakit palsu kepadanya.

“Kebanyakan doktor yang disoal siasat memberi pelbagai alasan tidak munasabah antaranya kakitangan klinik tersalah merekodkan nama pesakit selain menganggap menjual pil Duromine bukanlah satu kesalahan serius.

“Mereka memberi alasan membenarkan pesakit membeli pil psikotropik itu bagi pihak kawan mereka yang turut berdepan masalah obesiti.

“Semua doktor terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda RM10,000 dan penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here