Bukan culik rebut anak

0
11



Sungai Buloh: “Kejadian kecoh di Hospital Sungai Buloh (HSB), semalam bukanlah kes culik. Sebaliknya ia berpunca isu perebutan hak jagaan pesakit kanak-kanak perempuan,” ujar kakitangan hospital itu yang enggan namanya didedahkan.

Menurutnya, dalam kejadian jam 11 pagi semalam, insiden berlaku di lobi hospital hingga menyebabkan pihak kawalan keselamatan hospital campur tangan.

“Kekecohan bermula apabila pesakit berusia empat tahun terbabit diambil bapanya tanpa pengetahuan ibu kanak-kanak itu.

“Wanita terbabit memaklumkan kepada pihak kawalan keselamatan hospital anaknya dilarikan. Susulan itu, anggota kawalan keselamatan cuba menyelesaikan kemelut berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kejadian menjadi kecoh apabila tiga pengawal peribadi lelaki itu bertindak agresif sehingga memukul pengawal keselamatan hospital.

“Kekecohan berlaku lebih 15 minit sebelum pengurusan hospital membenarkan kanak-kanak itu dibawa keluar kumpulan lelaki terbabit,” katanya.

Dia berkata, salah faham berlaku apabila lelaki terbabit mengambil anaknya tanpa memaklumkan kepada pengurusan wad berkenaan.

“Sekiranya mereka membawa keluar kanak-kanak itu mengikut prosedur, kejadian tidak jadi rumit seperti ini. Tindakan kami mengikut prosedur serta arahan pihak atasan,” katanya.

Jelasnya, susulan kejadian itu, tiga pengawal keselamatan hospital cedera akibat dipukul, selain ibu kanak-kanak itu cedera ringan.

“Pihak hospital membuat laporan polis dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Kejadian menjadi tular apabila video kekecohan itu dimuat naik ke media sosial oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Somu Subramaniam berkata, kejadian berpunca kes perebutan anak.

Menurutnya, bapa kanak-kanak itu dikatakan berbincang dengan Pengarah Hospital, Pegawai Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dan pegawai polis Shah Alam berhubung isu penjagaan dua anak perempuan mereka berusia 13 bulan dan empat tahun.

“Hasil perbincangan, JKM membuat keputusan membenarkan lelaki itu mengambil anak perempuannya.

“Lelaki itu membawa anaknya keluar wad hospital, namun dihalang beberapa wanita termasuk ibu kanak-kanak itu,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit menerangkan dia berhak mengambil anaknya kerana memperoleh perintah Mahkamah Syariah.

“Bagaimanapun berlaku insiden berebut anak sebelum lelaki terbabit membawa anaknya ke

Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam untuk membuat laporan polis.

“Difahamkan lelaki itu dan isterinya dalam proses perceraian di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

SHARE
Previous articleKawal pintu masuk
Next articleBetis bertatu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here