'Bunga tahi ayam mampu halau nyamuk'

0
39



Jabatan Kesihatan Pahang mengenal pasti dua tumbuhan yang boleh menghalau nyamuk sekali gus dapat mengurangkan penularan wabak denggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman tumbuhan itu ialah pokok jeremin yang juga disebut sebagai pokok halau nyamuk atau jari lima serta pokok lantana camara atau lebih dikenali sebagai bunga tahi ayam.

Beliau berkata dua tumbuhan ini sesuai ditanam di kawasan rumah dan bukan sahaja berfungsi sebagai penghalau nyamuk, tetapi juga sesuai dijadikan pokok hiasan.

“Kajian mengenai kesesuaian pokok ini telah dilakukan sejak tahun 2010. Maka, kita mencadangkan kepada pihak terlibat seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menggalakkan tumbuhan jenis ini di kawasan perumahan,” katanya kepada pemberita.

Beliau menghadiri program Gotong-Royong Bersepadu Perangi Aedes 2017 di Taman Saga, Mentakab hari in, yang turut disertai Pengarah Kesihatan Pahang, Dr Sha’ari Ngadiman.

Norol Azali berharap penduduk dapat mengambil inisiatif menanam tumbuhan itu di kawasan perumahan mereka, memandangkan benih tumbuhan tersebut mudah diperoleh dan tumbuhannya tidak rumit untuk dijaga.

“Rasanya tiada masalah untuk penduduk menanamnya di kawasan persekitaran rumah mereka. Ini adalah inisiatif yang boleh dilakukan penduduk untuk sama-sama mengambil bahagian dalam mencegah demam denggi selain menyertai aktiviti gotong-royong,” katanya.

Beliau berkata untuk tahun ini, kerjaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan serta agensi terlibat telah melaksanakan 146 aktiviti gotong-royong di seluruh negeri.

Beliau juga memaklumkan kes demam denggi di Pahang bagi empat bulan pertama tahun ini menunjukkan penurunan iaitu 703 kes berbanding 1,060 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here