Bursa Malaysia dibuka amat rendah berikutan reaksi sementara

0
43
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka amat rendah hari ini berikutan reaksi sementara susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang mengejutkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 31.72 mata kepada 1,814.79 daripada 1,846.51 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks dibuka rendah 32.06 mata kepada 1,814.45.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 292 berbanding 206, manakala 140 kaunter tidak berubah, 1,241 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 314.78 juta unit bernilai RM306.7 juta.

Peniaga berkata kekalahan Barisan Nasional yang tidak dijangka kepada PH pada PRU14 merupakan satu kejutan yang negatif bagi pasaran saham tempatan berikutan ia mewujudkan ketidaktentuan.

“Oleh itu, pembetulan yang ketara dijangka hari ini,” katanya.

Beliau berkata sokongan segera dilihat pada paras 1,811 manakala halangan terdekat pada 1,865.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 14 sen kepada RM10.56, Public Bank merosot dua sen kepada RM23.86, Tenaga jatuh 46 sen kepada RM15.60 dan CIMB turun 64 sen kepada RM6.26.

Petronas Chemicals naik satu sen kepada RM8.43.

Bagi saham aktif, Sapura Energy menambah sembilan sen kepada 76 sen, Eden Inc meningkat 14 sen kepada 31 sen, Opcom menokok 30 sen kepada 90.5 sen dan Berjaya Corporation naik 5.5 sen kepada 36 sen.

Cuscapi susut 14.5 sen kepada 21 sen.

Indeks FBM Emas jatuh 319.27 mata kepada 12,566.44, Indeks FBMT 100 merosot 317.78 mata kepada 12,380.66, Indeks FBM Emas Shariah susut 359.04 mata kepada 12,716.32, FBM Ace turun 138.47 mata kepada 5,073.86 dan FBM 70 berkurangan 391.68 mata kepada 14,911.58.

Mengikut sektor, Indeks Perusahaan merosot 26.05 mata kepada 3,170.5, Indeks Kewangan susut 383.24 mata kepada 17,707.35 dan Indeks Perladangan turun 80.75 mata kepada 7,768.97.

–BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here