Bursa Malaysia dibuka tinggi

0
263
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini dengan mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street, yang ditutup lebih tinggi susulan laporan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memperolehi kompromi Kesatuan Eropah untuk mengelak perang perdagangan.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.12 mata kepada 1,765.90 daripada 1,7663.78 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks itu dibuka 4.54 mata lebih tinggi kepada 1,760.95.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 184 berbanding 77 manakala 202 kaunter tidak berubah, 1,466 kaunter tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 182.15 juta unit bernilai RM74.48 juta.

Public Investment Bank Bhd berkata pasaran Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur memandangkan pelabur menunggu petunjuk baharu, dengan yang paling ketara dan terkini adalah mesyuarat Presiden AS Donald Trump dengan Presiden Suruhanjaya Eropah berhubung isu berkaitan tarif yang baru sahaja dimuktamadkan.

Pasaran AS mengakhiri dagangan dengan prestasi positif selepas persetujuan antara AS dan Eropah diumumkan, dengan AS akan menyaksikan Eropah meningkatkan import gas asli cecair dan kacang soya AS selain kedua-dua pihak akan menurunkan tarif industri, menurut bank itu dalam nota hari ini.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga masing-masing naik empat sen kepada RM9.85 dan RM14.92, Petronas Chemicals bertambah satu sen kepada RM8.82 dan CIMB susut tujuh sen lepada RM5.82 manakala Public Bank tidak berubah pada RM24.

Antara saham aktif, Vizione, Sapura Energy dan waran Vizione masing-masing meningkat setengah sen kepada 15 sen, 62.5 sen dan 8.5 sen manakala Vivicom dan Lay Hong masing-masing tidak berubah pada empat sen dan 73 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 24.23 mata kepada 12,568.50, Indeks FBMT 100 menokok 23.86 mata kepada 12,340.48 dan Indeks FBM Ace naik 1.90 mata kepada 5,524.25.

Indeks FBM Emas Syariah bertambah 35.74 mata kepada 12,715.76 dan FBM 70 melonjak 64.33 mata kepada 15,596.67.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 21.14 mata kepada 17,419.63, Indeks Perusahaan menokok 10.90 mata kepada 3,249.13 dan Indeks Perladangan bertambah 7.18 mata kepada 7,549.14.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here