Calon PM Britain bertelagah isu Brexit

0
34


THERESA May dalam temu bual dengan Jeremy Paxman semasa program dalam rancangan ‘Battle for Number 10’ terbitan Sky News/Channel 4. – Foto Reuters

LONDON: Perdana Menteri Britain, Theresa May, dan pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn, masing-masing mengambil haluan berbeza berhubung rundingan Brexit ketika tampil dalam siaran langsung di televisyen menjelang pilihan raya umum 8 Jun ini.

Sepuluh hari sebelum pilihan raya, kedua-dua seteru itu secara berasingan berhadapan pelbagai soalan daripada penduduk awam sebelum disoal penyampai veteran, Jeremy Paxman.

May enggan berdebat secara bersemuka dengan Corbyn, yang parti pimpinannya semakin merapatkan jurang dalam tinjauan pendapat, walaupun Konservatif kekal di hadapan.

Ketika Corbyn menegaskan beliau akan memastikan ada perjanjian dengan Kesatuan Eropah (EU) sebelum Britain meninggalkan blok itu, May pula berkata beliau sudah bersedia untuk keluar.

“Tiada perjanjian lebih baik daripada perjanjian yang teruk. Kita perlu bersedia untuk keluar,” kata May berulang kali dalam rancangan ‘Battle for Number 10’ terbitan Sky News/Channel 4, menyedari sebahagian masyarakat Eropah mahu menghukum negara itu.

Corbyn, 68, berkata ‘realiti’ keputusan pungutan suara mengenai Brexit tahun lalu perlu dihormati dan menegaskan: “Kami akan pastikan ada perjanjian. Kami tidak memulakan rundingan dengan diplomasi, mengancam Eropah dengan syurga cukai pesisir pantai di Eropah.”

Kedua-dua calon Perdana Menteri Britain itu menyokong untuk kekal dalam EU sebelum pungutan suara Jun lalu, yang menyaksikan 52 peratus rakyat negara itu memilih meninggalkan blok berkenaan. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here