Cantas gengster

0
33



Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memburu semua ketua kumpulan dan ahli kongsi gelap melalui Op Cantas yang dilancarkan, kelmarin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan penahanan ketua kumpulan kongsi gelap Double Seven di Seremban, kelmarin, berkata, lebih ramai ketua kongsi gelap akan ditahan dalam masa terdekat.

“Operasi itu bakal menyaksikan beberapa siri penahanan ahli pertubuhan haram. Saya tidak boleh mendedahkan jumlah yang ditahan sehingga kini kerana dikhuatiri mengganggu operasi.

“Semua pihak harus faham Op Cantas terhadap kongsi gelap tidak menjurus kepada sesuatu kaum saja.

“Kami bertindak membersihkan keseluruhan operasi kongsi gelap secara tegas tanpa kompromi,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 11/2017 sempena Hari Raya Aidilfitri 2017 di Dewan Theatrette, Bukit Aman, di sini, semalam.

Semalam, Harian Metro melaporkan, Pasukan Tindakan Khas AntiMaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman menahan seorang lelaki bergelar Datuk disyaki ketua kumpulan kongsi gelap Double Seven di Seremban.

Difahamkan suspek dikenali dengan panggilan Pak Long Gan, Ayah Boss serta Brother Gan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Pertubuhan 1966 selepas disyaki terbabit dengan kongsi gelap.

Berdasarkan maklumat sumber, selain Pak Long Gan, 29 ahli dan ketua kumpulan kongsi gelap ditahan pasukan khas itu di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Tangkapan itu merangkumi ketua pertubuhan bukan kerajaan yang tidak berdaftar selain mempunyai kaitan dengan kongsi gelap.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here