CAP gesa kerajaan banteras e-rokok dari akar umbi

0
23



Georgetown: Kerajaan digesa mengambil pendirian lebih tegas dalam membanteras tabiat menghisap rokok elektronik (e-rokok) atau vape dengan mengharamkan penggunaannya.

Pendirian berkenaan perlu diambil sebelum tabiat itu berakar umbi seperti pengambilan tembakau yang mengambil masa lama serta usaha bersepadu mengurangkan penggunaannya.

Naib Pengerusi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, penggunaan tembakau lain seperti shisha perlu diharamkan kerana menjadi penyebab penyakit utama yang boleh dicegah serta membahayakan hampir setiap organ dalam tubuh.

Katanya, berdasarkan perangkaan pada 2015, dianggarkan 200,000 rakyat Malayisa mati akibat penyakit berkaitan rokok setiap tahun.

“Kita sedar bahan kimia lain digunakan dalam e-cecair dan kajian menunjukkan aerosol e-rokok mengandungi karsinogen seperti formaldehid dan acetaldehid selain logam berat seperti kadmium dan nikel.

“Seperti sering ditegaskan, kita perlu meminimum atau menghapuskan pendedahan kepada bahan kimia toksik,” katanya dalam sidang media di Jalan Masjid Negeri, di sini, semalam.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau berkata, bilangan perokok terus meningkat apabila terdapat 4.99 juta perokok dewasa di negara ini dan merokok 91 juta batang rokok sehari pada 2015 lalu.

Katanya, terdapat 2.67 juta belia berusia antara 13 hingga 15 tahun merokok pada 2009 dan jika semua merokok 20 batang bermakna rakyat Malaysia merokok 4.6 juta batang rokok sehari.

“Keluarga dan kerajaan akan peroleh manfaat dengan wang yang dijimatkan daripada pembelian rokok dan tembakau, malah bagi perokok miskin, keluarga mereka mampu berbelanja bagi membeli makanan serta keperluan lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here