CEO tidak harus galas jawatan lebih 10 tahun – Abdul Wahid

0
118
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kalangan pemimpin sektor korporat, termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) tidak harus kekal dalam jawatan sama bagi tempoh melebihi 10 tahun, kata Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Menurutnya, walaupun CEO yang lama berkhidmat mampu menyuntik kestabilan kepada sesebuah syarikat namun mereka juga berisiko mencatat prestasi yang semakin merosot atau menjadi terlalu selesa.

“Hasil penyelidikan turut menunjukkan bahawa prestasi kebanyakan syarikat yang dipimpin CEO sama melebihi 10 tahun tidaklah sebaik prestasi mereka sewaktu 10 tahun pertama menggalas jawatan itu.

“Jika individu itu bagus sekali pun, anda sepatutnya memberinya peluang untuk menyandang peranan lebih utama atau menerajui organisasi leih besar,” katanya pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Malaysia di sini, hari ini.

Berkongsi pandangan selanjutnya, Abdul Wahid berkata adalah penting bagi organisasi untuk sering menyuntik nafas baharu dari semasa ke semasa, termasuk mengehadkan tempoh jawatan pemimpinnya.

Malah, beliau berkata, organisasi perlu memberi peluang kepada golongan muda untuk mengambil alih tugas sebagai peneraju bagi mendapatkan persekitaran kerja lebih segar dan berbeza.

“Saya rasa ini penting untuk memperbaharui komitmen terhadap pemimpin akan datang selain berani memberi peluang kepada pemimpin muda untuk menggalas jawatan lebih penting seperti CEO,” katanya.

Persidangan dua hari bermula hari ini, adalah anjuran bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Kepimpinan dan Pembangunan UiTM dan Global Leadership Dynamics Asia.

Antara penceramah terkemuka pada acara itu adalah Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Tan Sri Zarinah Anwar, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia Datuk Hafsah Hashim, Pengarah Urusan Kumpulan Habib Datuk Seri Meer Sadik Habib dan pereka fesyen Hatta Dolmat.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here