Ceritalah ASEAN – Pelarian Marawi: Hancurnya sebuah kehidupan

0
20
“PADA hari pertama, kami tak begitu peduli kerana yang kedengaran hanyalah bunyi tembakan. Marawi memang selalu kacau-bilau: ada sengketa keluarga atau pergaduhan merebut perempuan dan wang. Mereka memanggilnya ‘rido’ (pembunuhan untuk menjaga maruah). Kalau ada ‘rido’, polis tak peduli untuk menyiasatnya.”

Ali Nur, 20, pembawa beca berbadan sasa yang penuh tatu itu bercakap sepatah-sepatah. Matanya melirik kepada isterinya, Orick, 30, sementara tangannya mengesat dahi dan menggesek-gesek mata yang gatal sambil mulutnya terus bercerita tentang pengalamannya.

Orick, penjual sayur dan buah-buahan itu, tidak begitu menunjukkan riak. Dia yang membiarkan rambutnya lepas terus asyik mengadun seorang daripada lima anak kecil mereka.

“Tetapi pada hari kedua, apabila bom mula kedengaran, ia memang menakutkan. Kami tahu kami harus pergi. Kami tidak dapat caj telefon kerana bekalan elektrik terputus. Kami tidak ada makanan. Kemudian, Maute menghantar orang mencari kaum lelaki untuk jadi pejuang. Saya menyorok. Mereka malah menghantar kaum wanita mengetuk pintu ke pintu mencari pejuang.

Hampir semua 200,000 penduduk Marawi dievakuasi ke daerah sekitarnya ketika konflik meruncing. Foto ABC

“Akhirnya, pada hari ketiga, kami dapat melarikan diri. Saya tidak dapat angkut semua naik motosikal,” katanya, sambil menunjuk kepada anak-anaknya, “jadi saya terpaksa tinggalkan motosikal. Kami berhimpit-himpit dalam trak Hilux ipar saya bersama keluarga sebelah isteri. Kami hanya sehelai sepinggang.”

“Harta kami tak banyak tetapi kami hilang semuanya — lebih kurang PHP13,000. Rumah kami betul-betul di tengah bandar di Barangay Marinaut dan rumah itu hangus terbakar. Saya tengok di TV. Saya sumpah Marawi. Saya tak mahu pulang lagi. Saya hanya mahu anak-anak ke sekolah. Saya jual sebahagian daripada makanan dalam tin yang mereka berikan kepada kami setiap hari di pusat perlindungan untuk tampung belanja sekolah.”

Kami berada kira-kira 35 kilometer dari medan pertempuran di Marawi, Mindanao. Di sini, di tempat yang diberi gelar “bandar khemah”, petempatan yang bersesak-sesak lengkap dengan sekolah tinggi, ada 169 buah keluarga: semua sekali 752 penghuni.

Berjanji tidak akan kembali ke Marawi, Ali Nur berkata, dia bercita-cita untuk menyekolahkan semua anaknya. Foto Karim Raslan

Ali Nur menempatkan keluarganya di beranda betul-betul di luar bilik darjah, jauh dari dewan yang sendat itu. Lokasi kem itu yang terletak di luar kawasan perindustrian Iligan, menambah rasa janggal. Sulit untuk dibayangkan betapa tidak jauh dari sini ada konflik berdarah di hujung jalan kerana Iligan (dan Cagayan de Oro yang berdekatan) adalah sebahagian daripada hab bisnes dan logistik Mindanao Utara yang sedang berkembang.

Pertumbuhan ekonomi 7.6% daerah itu mengatasi kadar nasional 6.9%. Pusat membeli-belah Robinson Place yang gah sudah dibuka, lengkap dengan kedai-kedai berhawa dingin serta pelbagai restoran makanan segera.

Apabila pertempuran meletus di Malawi, sebahagian besar daripada 200,000 penduduknya melarikan diri ke tempat-tempat seperti “bandar khemah” itu, yang merupakan antara sekian banyak pusat pelarian di serat Mindanao. Kebanyakan mereka kemudiannya berpindah ke rumah kawan atau saudara mara tetapi sekitar 40,000 orang masih mengungsi di pusat pemindahan.

Pusat membeli-belah Robinsons Place yang dibuka di Kota Iligan. Foto Karim Raslan

Kem itu sendiri sangat sederhana tetapi memadai.

Suasana di kem itu tetap ceria: kebanyakan keluarga ini menumpang di sini sejak hujung Mei. Mereka boleh memasak; ada kemudahan tandas dan membasuh pakaian. Malah ada ruang pentadbiran yang kecil dekat pintu masuk ke dewan masyarakat yang terbuka itu. Papan kenyataan penuh dengan pelbagai maklumat: ada lukisan anak-anak, ada catatan sumbangan derma dan senarai ahli jawatankuasa, termasuk untuk aduan. Seorang pelarian yang ada daya usahawan malah membuka gerai “sari-sari” (kedai runcit) sementara.

Apabila saya tanyakan Ali Nur kemudian tentang tatu yang penuh di badannya dan apakah dia anggota kumpulan, dia melarikan mukanya sebelum menjawab: “Waktu remaja, saya tidak suka balik ke rumah. Saya budak jahat. Ayah kemudian membiarkan saya masuk penjara selama enam bulan. Masa itulah saya buat tatu ini. Saya cuma kurang liar selepas berkahwin.”

“Adik beradik saya lebih alim. Saya pergi sembahyang Jumaat tetapi di Marawi saya sama ada bekerja atau menjaga anak-anak. Mungkin saya sudah malas hendak sembahyang. Apa pun, ayah bangga dengan saya sekarang sebab saya sudah ada keluarga sendiri.”

Papan buletin yang menampilkan maklumat dan catatan, termasuk keluhan rakyat. Foto Karim Raslan

Mindanao adalah petak-petak dengan pemerintahnya sendiri: bekas datuk bandar Davao yang kini Presiden Rodrigo Duterte adalah contoh yang klasik. Selama hampir dua dekad, dia memerintah bandar ini dengan tegas sehingga mencipta keamanan dan kemakmuran yang jarang ada di sini. Apabila pengaruh Manila pasang dan surut, lelaki (dan wanita) seperti Duterte betul-betul jadi undang-undang di daerah masing-masing. Namun, kalau kita memandu hanya beberapa batu dari Davao, “kedamaian Duterte” itu terus lenyap.

Pada sisi yang lain, ada singkatan huruf pelbagai kumpulan Muslim — daripada MNLF sampailah kepada MILF. Malah, Maute merupakan kumpulan serpihan MILF yang diketuai oleh Abdullah MAute, pengasas apa yang digelar “Negara Islam” di Lanao. Kalau itu tidak cukup rumit, Mindanao juga medan operasi utama pejuang komunis, NPA. Ini bauran agama, idelogi, pemisah dan penyangak yang mengelirukan.

Konflik Marawi meletus pada Mei ketika kerajaan Filipina melancarkan operasi memburu Isnilon Hapilon, Emir sekutu ISIS di republik itu. Tentera Hapilon bertindak balas dengan memanggil sekutunya, termasuk Maute.

 Tempat pengungsian sementara di beranda luar ruang kelas. Foto Karim Raslan

Pada 23 Mei, lebih 500 gerila menyerbu tentera Filipina di Kem Ranao, merampas beberapa bangunan kerajaan dan menahan orang awam sebagai tebusan. Ketika keadaan semakin tegang, bandar Marawi serta merta jadi sepi. Biarpun begitu, tentera kerajaan gagal menyapu bersih kumpulan militan.

Marawi adalah enigma bagi banyak orang di Filipina. Selain daerah majoriti Muslim ada beberapa kisah legenda yang mengukuhkan citra bandar ini. Penduduknya dikatakan sangat berdikari dan rata-ratanya menentang pemerintah.

Bercakap dengan penduduk di sini membuka mata saya untuk melihat konflik ini tidak sebagai pertembungan tamadun yang besar — ISIS menyerang Katolik Filipina — tetapi lebih sebagai konflik puak yang luar biasa ganasnya, yang berbaur agenda agama.

 Ali Nur, isterinya Orick, bersama lima anak mereka. Foto Karim Raslan

Tetapi bagi Ali Nur, Orick dan lima anak mereka, hidup yang terjejas itu sangat dirasai.

Hidup mereka tercabut dari akarnya, pendidikan anak-anak jadi kurang selesa tetapi syukur tidak terhenti sepenuhnya.

“Memenangi” pertempuran Marawi dan mencapai keamanan di Mindanao akan sangat bergantung pada usaha membina semula kehidupan ribuan pelarian seperti Ali Nur dan keluarganya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here