Ceritalah ASEAN – Pengilang padi Medan impikan masa depan yang lebih baik

0
39
“AHOK tidak ada kena mengena dengan kami, Cina Medan. Bandar raya kita sentiasa selamat dan harmoni. Malah pada tahun 1998, walaupun terdapat beberapa kejadian di sini, tetapi tidaklah seperti Jakarta. Kami semua di sini hidup aman.”

Pak Darwin, seorang Cina Indonesia berusia 48 tahun adalah pengilang padi di Sunggul, kawasan luar ibu kota Sumatera Utara. Bercakap dalam Bahasa Indonesia dengan sedikit campuran dialek Hokkien, ahli perniagaan Teochew itu tidak menunjukkan sebarang sentimen apabila menyebut tentang Basuki Tjahaja Purnama (Ahok), bekas Gabenor Jakarta yang sedang dipenjarakan.

Saya sebut tentang kemajuan hebat yang dicapai di bandar raya seperti Jakarta di bawah Ahok dan Surabaya di Jawa Timur di bawah datuk bandarnya yang dinamik, Tri Rismaharini, tetapi Pak Darwin memberi respons yang sederhana:

“Orang Jawa lebih mudah diurus. Di Medan ini, ada Batak, Melayu, Jawa, Cina, India. Bagaimana anda fikir mahu menguruskan semua itu?”

Dengan lebih 2 juta penduduk, Medan ialah bandar raya keempat terbesar di Indonesia dan paling banyak bilangan penduduknya di luar Jawa. Ia juga tempat yang mempunyai penduduk paling pelbagai di republik itu, dengan 34 peratus Batak (kebanyakannya Kristian), 33 peratus Jawa, 10.65 Cina, 8.6 peratus Minangkabau dan 6.59 Melayu.

Kepelbagaian ini juga bermakna menyatukan komuniti-komuniti Medan yang berbeza adalah suatu usaha yang sukar.

Karim bercakap dengan Pak Darwin, yang biasa dipanggil Ah Kheng oleh teman-temannya, adalah seorang penggiling padi di Medan, Sumatera Utara. Foto Karim Raslan

Malah, walaupun mempunyai bilangan penduduk yang besar, Sumatera Utara kekurangan kekuatan politik berbanding dengan wilayah-wilayah Jawa yang sama besar (Banten dan Jakarta). Dengan penduduk yang berpecah-pecah, pemimpin-pemimpin wilayah itu seringkali sukar untuk melobi bagi mendapatkan dana pembangunan.

Cabaran-cabaran ini jelas terserlah dalam isu-isu jalan dan infrastruktur bandar raya itu, yang berada dalam keadaan teruk.

Keluarga Pak Darwin telah mengilang padi di Medan selama tiga generasi. Ia mungkin tidak akan sampai generasi keempat.

“Datuk saya datang dari China dan membeli tanah ini untuk dibina kilang padi. Ayah saya meneruskan perniagaan ini dan mereka mewariskannya pada saya. Tanah ini ialah warisan keluarga saya.”

Pak Darwin adalah seorang yang tidak bercakap banyak. Dengan topi hijau limau dan tuala kecil melililti lehernya, yang merupakan identitinya, Pak Darwin (atau “Ah Kheng” seperti mana yang dipanggil oleh kawan-kawannya) membawa saya melihat keseluruhan proses pengeluaran beras.

Meskipun mereka memiliki mesin pengering, namun para penggiling juga mengeringkan padi di bawah sinaran matahari. - Foto Karim Raslan

“Kami mulakan dengan membeli padi dari ‘tengkulak’ (ejen), yang memperolehinya dari para petani di banyak tempat. Kami membeli dengan harga IDR4200 sekilo.”

“Kemudian kami mengeringkan padi itu dalam jentera ini untuk 10 jam. Kalau pengering itu penuh, kami jemur padi itu,” jelasnya sambil menuding jarinya ke arah sebuah jentera besar setinggi bangunan dua tingkat.”

“Padi yang sudah dikeringkan dihantar ke jentera lain, yang mengasingkan sekamnya. Kemudian, alat pengasing memisahkan beras daripada sekamnya kepada bekas-bekas berbeza. Kami menyimpan sekam itu untuk diberikan kepada petani untuk dijadikan baja.”‘

“Akhir sekali, kami ambil beras itu dan memasukkan ke dalam kampit 5, 10, 15 atau 30 kg setiap satu, dan kemudian menjualnya kepada pengedar dengan harga IDR9000 sekilo. Peruncit menjualkannya di pasaran dengan harga IDR9500 sekilo.”

Mesin pengeringan berupaya mengeringkan 30 tan padi dalam tempoh masa 10 jam. - Foto Karim Raslan

Berjalan sekitar kilang itu, saya terkesan dengan kedengaran pelbagai bunyi. Sentiasa ada bunyi deruan jentera, dentuman kampit beras jatuh ke lantai keras, gemersik beras yang sedang diasingkan, dan dari masa ke masa terdengar jeritan Pak Darwin kepada 15 pekerjanya. Tempat itu sibuk dan lebih daripada sekali saya terpaksa mengalihkan diri untuk mengelak pekerja yang sedang tergesa-gesa menolak kereta sorong berisi beras.

Dengan menghasilkan 30 tan beras setiap hari, bekerja dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang, hasil pengeluaran diedarkan ke pasaran di seluruh Medan dan dalam lingkungan 150 km bandar raya itu.

Ia kelihatan amat mengkagumkan, tetapi Pak Darwin masih berasakan beliau semakin ketinggalan.

“Saya tidak boleh bersaing dengan pemain-pemain besar. Mereka memiliki banyak modal dan boleh menyimpan stok beras yang banyak dan tunggu pasaran yang lebih menguntungkan. Pada masa ini, orang ramai juga beli lebih banyak beras import dari Thailand dan Vietnam. Beras mereka lebih enak dan lebih murah,” katanya terus terang.

Sebagai bapa kepada kepada dua orang anak perempuan, Pak Darwin telah mula memikirkan masa depan.

Beliau mempunyai 4 saudara perempuan dan seorang adik lelaki berusia 30 tahun yang membantunya dalam perniagaan itu. Saya tanya apakah harapannya terhadap anak-anaknya.

Isteri Pak Darwin berperanan sebagai seorang akauntan, di pejabat kecil miliknya. - Foto Karim Raslan

“Terpulang kepada mereka. Tetapi bukan ini. Terlalu banyak habuk dan debu di kilang ini. Ia panas, sesak dan memerlukan kerja keras.”

“Adalah penting untuk saya memberikan mereka pendidikan. Saya hantar anak-anak perempuan saya ke sekolah swasta supaya mereka boleh belajar bahasa Inggeris dan Mandarin setiap hari. Dua bahasa ini adalah sama penting, supaya mereka ada masa depan di luar kilang ini.”

Apakah yang akan berlaku pada kilang ini, kepada warisan keluarga mereka.

“Saya lebih bersedia memberikan wang kepada anak-anak saya daripada menyerahkan perniagaan ini. Biarkan mereka lakukan apa yang mereka mahu, bukan bekerja di kilang ini. Ia berada dalam keluarga ini selama tiga generasi, tetapi…”

Kata-katanya terhenti dan beliau tidak menghabiskan ayatnya.

Sungguhpun begitu saya dapat merasakan bahawa kalau boleh, Pak Darwin mahu terus berada pada keadaan yang sudah biasa baginya.

Pak Darwin tidak mengimpikan untuk pergi ke tempat-tempat yang jauh atau melepaskan diri daripada kehidupan kilang. Beliau memberitahu saya beliau berasa senang di situ, seperti bapanya, dan datuknya sebelum itu. Tetapi dunia di sekelilingnya sedang berubah dengan pesat.

Rasa yakin beliau mungkin dicerminkan daripada keadaan kemajuan Sumatera Utara yang secara perbandingannya adalah perlahan sejak beberapa tahun ini.

Padi ditempatkan di sekitar penggilingan, menunggu untuk di proses. - Foto Karim Raslan

Dalam perjalanan ke kilang padi di Sunggal dari hotel saya, saya terkesan dengan kemunduran bandar raya itu. Walaupun Medan mempunyai jalan bertol dari lapangan terbang utama Kualanamu hinggalah ke Tebingtinggi, semua itu mudah dilupakan apabila saya terpaksa melalui jalan-jalan yang sesak dan berbonggol.

Ketika mana projek-projek berjuta-juta dolar seperti pembaikpulihan pelabuhan Medan dan pembaharuan lapangan terbang Silangit yang berdekatan memenuhi laporan berita, adalah penting untuk ingat orang seperti Pak Darwin di Sunggal, yang masih menghadapi masalah dengan infrastruktur asas.

Seorang wartawan tempatan menjelaskan: “Terdapat kekurangan pengangkutan awam yang serius. Jika keadaan ini berterusan, dalam 10 tahun Medan akan menghadapi kesesakan lalu lintas yang lebih teruk daripada Jakarta. Sistem pengangkutan ibu kota itu semakin membaik setiap hari dengan adanya banyak projek baharu, sementara bagi Medan, pemerintah tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap infrastruktur dan kemudahan asas.”

Dengan pilihan raya gabenor akan berlangsung tahun depan, bolehkah Medan, dan selanjutnya Sumatera Utara keluar daripada kedudukan politiknya yang terpinggir? Ketika mana infrastruktur di Jawa bertambah baik, sudut republik yang pernah berkembang pada satu masa dulu ini boleh ketinggalan selamanya sekiranya tidak berlaku perubahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here