Ceritalah ASEAN – Vietnam kembali unggul: Dinamo ASEAN baru merombak dasar pendidikan

0
47



VIETNAM sebuah negara ASEAN yang mengagumkan saya sekali gus membimbangkan.

Hanoi dan Ho Chi Minh adalah bandar-bandar yang menarik tetapi pada masa sama, melesukan.

Seolah-olahnya setelah tiga puluh tahun mengharungi peperangan dan diselubungi kemiskinan, rakyat Vietnam berazam untuk merebut setiap peluang yang datang.

Semangat membara inilah — kesungguhan untuk berjaya tanpa peduli bagaimanapun caranya —  yang membimbangkan saya apabila saya membandingkan angin di Vietnam dengan negara-negara lain di rantau ini.

Masyarakat di negara-negara “ASEAN Berlima” yang asal sudah melalui era pertumbuhan ekonomi yang pesat itu.

Dan sekarang, apabila berdepan dengan kesan pertumbuhan pesat itu — terutamanya di Malaysia dan Singapura — kita tiba-tiba tersentak bahawa hidup ini akan jadi lebih sulit bagi generasi muda.
Sudah barang tentu, para penggubal dasar akan menunjukkan betapa biarpun rakyat Vietnam kuat bersaing tetapi prasarana lembut terutama sistem pendidikannya masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara anggota ASEAN yang lain.

Bagaimanapun, dalam kaji selidik terkini terutamanya laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa 2016 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menunjukkan bahawa pencapaian golongan remaja Vietnam adalah lebih baik berbanding di negara jiran. Mereka juga secara konsisten mengatasi rakan sebaya di Amerika Syarikat dan Britain dalam matematik dan sains.
Sememangnya, setiap kali saya melawat Vietnam, saya perasan bagaimana rakyat Vietnam membandingkan diri dan negara mereka dengan negara-negara Asia Timur: Taiwan, Korea Selatan, China dan Jepun.

Walaupun kita di rantau ini menganggap Vietnam sebagai bahagian serantau yang penting, saya tidak pasti apakah mereka juga beranggapan yang sama.

Dalam hal ini, saya menggalakkan anda untuk melawat Kuil Konfusius di wilayah tengah Hanoi dan melihat bagaiman anak-anak sekolah dibimbing oleh guru mereka untuk mencari inspirasi dan berkat.
Sudah tentu, pencapaian Vietnam dalam keputusan PISA itu hanyalah sebahagian daripada keseluruhan ceritanya. Hakikatnya lebih rumit.

Seperti negara-negara lain di Asia Tenggara, sistem pendidikan tempatan banyak kelemahan terutamanya kecenderungan hafalan dan peperiksaan.

Kelemahan besar yang kedua adalah pada era perubahan teknologi yang pesat ini, para pelajar seharusnya diilengkapkan dengan kemahiran berfikir secara kreatif.

Pertembungan yang timbul sangat jelas, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan bahawa Vietnam masih — sekurang-kurangnya pada nama — sebuah negara komunis.

Untuk menyelami dengan lebih dalam tentang isu-isu yang membelenggu sistem pendidikan di Vietnam, saya sempat duduk berbual dengan Puan Dang Thi Doan Trang, 43 tahun, seorang guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di pinggir Hanoi yang ceria dan menawan.
Ketika negara-negara serantau bergelut untuk meramalkan cabaran masa depan, dasar pendidikan menjadi ujian yang besar.

Apakah dasar kerajaan terhadap pembelajaran bahasa asing?

Bagaimana dengan pembelajaran agama, moral dan etika?

Sejauh manakah teknologi berperanan?

Jelas bahawa Malaysia, Indonesia dan Myanmar merasakan sukar untuk menyekat pengaruh golongan pelampau agama yang semakin meluas.

Bagaimanapun, kebanyakan ibu bapa di Asia Tenggara (serta para pelabur) menganggap Bahasa Inggeris sebagai lingua franca global dan pembelajarannya yang berkesan membolehkan para pelajar menaruh cita-cita tinggi.

Anehnya – dan ini berbeza dengan negara-negara ASEAN yang lain – bahasa Mandarin tidak dilihat sebagai bahasa yang mustahak untuk dikuasai di Vietnam.

Puan Trang agak acuh tak acuh: “Bahasa Cina? Mengapa harus belajar bahasa Cina?” — mungkin disebabkan hubungan yang tegang antara negaranya dengan gergasi di sebelah utara itu.

Minat Puan Trang terhadap Bahasa Inggeris sebaliknya seperti berjangkit: “Sejak mula lagi, saya sukakan bunyi perkataan-perkataan dalam Bahasa Inggeris. Semasa saya masih seorang pelajar, saya terpaksa belajar Bahasa Rusia tetapi pada tahun 1993, saya sempat untuk bertukar kepada Bahasa Inggeris. Saya tahu Bahasa Inggeris lebih penting, oleh itu saya membuat keputusan untuk bertukar… Mengajar Bahasa Inggeris adalah minat saya;  saya tak melakukannya untuk wang.”

Puan Trang, yang sudah 19 tahun berpengalaman mengajar, hanya seorang guru sambilan dan bukannya seorang kakitangan awam. Ini bermakna gajinya (dalam lingkungan VND1,280,00 hingga 4,000,000, bergantung pada jumlah kelas yang diajarnya setiap semester) lebih rendah daripada pendapatan purata dan beliau juga tidak layak dapat pencen apabila bersara.
Namun, seperti yang dia akui, kebanyakan guru (seperti guru-guru lain di rantau ini) mendapat upah lumayan dengan menyediakan kelas bimbingan secara sampingan.

Tetapi itu tidaklah begitu membimbangkannya: “Kelas-kelas semakin sesak; ada 44 pelajar dalam kelas saya… Ada empat kelas seminggu selama 40 minit… Saya rasa itu tidak cukup… Ramai dalam kalangan ibu bapa yang meminta saya untuk memberikan kelas bimbingan tetapi saya kesempitan masa.”

“Perhatian sama rata perlu diberi terhadap empat keupayaan: pendengaran, pertuturan, pembacaan dan penulisan… [Namun], penulisan kerap diabaikan. Orang atasan memberi alasan bahawa sukatan pelajaran bagi sekolah rendah seharusnya hanya menumpukan pada pendengaran dan penulisan. Tetapi buku teks yang diberi tidak sesuai; akibatnya pelajar-pelajar langsung tidak boleh bertutur selepas habis sekolah.”

Cabaran utama adalah cara sebutan: “Sangat teruk. Pelajar-pelajar menyebut banyak perkataan dengan salah. Perkataan yang sering disebut salah adalah “bathroom”… Apabila mereka masuk ke sekolah menengah dan bertemu dengan guru-guru dari luar negara, mereka tidak mampu untuk bertutur walau sepatah perkataan… Mereka hanya mampu untuk bertutur sekiranya mereka mendapat bimbingan persendirian khas… Sukatan pelajaran tidak memberi penyelesaian kepada keperluan semasa.”
“Birokrat pendidikan hanya menyediakan sukatan pelajaran tanpa mengambil tahu sama ada sistem itu sesuai atau tidak. Saya rasa mereka harus lebih kerap turun padang ke sekolah-sekolah.”
Tambahan pula, Bank Dunia pada tahun 2010 melaporkan bahawa kadar bersih pendaftaran sekolah menengah atas di Vietnam hanya mencecah 65%, berbanding dengan 95% di Korea Selatan. Mungkinkah pencapaian PISA Vietnam yang gemilang terhasil kerana ramai pelajar miskin dan kurang bernasib baik tercicir dari sekolah?

Seperti yang disebutkan awal tadi, bukanlah ibu bapa di Vietnam tidak mengambil berat tentang hal ini: “[Terdapat] banyak syarikat asing yang datang untuk melabur, mereka tahu bahawa pekerja kilang sekali pun harus fasih berbahasa Inggeris… Ibu bapa sangat menginginkan anak mereka belajar Bahasa Inggeris… Di kawasan kejiranan saya, kesedaran ini seperti satu gelombang apabila semua orang merasakan belajar bahasa Inggeris itu sangat penting, tidak saja di sekolah rendah malah di tadika.”

“Menuntut ilmu itu semacam tradisi bagi kami… Tanpa pendidikan yang bagus, anak-anak mereka tidak akan dapat pekerjaan yang baik… [Malangnya] Kementerian Pendidikan tidak pernah cuba untuk mendapatkan maklum balas ibu bapa.”

Kerajaan Vietnam tampak sedar akan cabaran yang dihadapi.

Menteri Pendidikan Phung Xuan Nha mengakui bahawa meningkatkan kualiti guru Bahasa Inggeris sangat mustahak. Katanya: “Lebih baik tidak belajar langsung daripada belajar dengan guru yang tidak bagus.”
Oleh itu, walaupun pelajar-pelajar Vietnam mendapat pencapaian cemerlang dalam ujian PISA, Kementerian Pendidikannya akan menyemak semula Projek 2020 – pelan tindakan untuk pembelajaran bahasa asing – yang dimulakan pada tahun 2008 dengan peruntukan sebanyak VND10 trillion.

Kesediaan untuk menukar keutamaan bagi mendapatkan hasil yang sepatutnya seperti inilah yang menjadikan Vietnam pesaing yang hebat.

Pemimpin mereka menggunakan ketiadaan demokrasi untuk melaksanakan reformasi yang sesuai dan mempersiapkan rakyatnya untuk mengharungi masa hadapan.

Walaupun Puan Trang sedikit kecewa dengan sistem yang dianggapnya sedang merudum, kritikannya sedikit sebanyak mengubah sikap kerajaan terhadap pembelajaran bahasa asing.

Sekiranya – seperti yang saya jangkakan – Kementerian Pendidikan Vietnam berjaya merangka perubahan positif, kita akan melihat lebih banyak kilang berpindah ke negara yang kini sedang muncul sebagai hab pembuatan yang paling dinamik di ASEAN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here