Chappell intai kejuaraan

0
67



Los Angeles: Pemain golf Amerika Syarikat Kevin Chappell (gambar), yang memburu gelaran PGA sulungnya, mencatat tiga birdie dalam lima lubang terakhir untuk mendahului satu pukulan selepas pusingan ketiga Terbuka Texas semalam.

Chappell mencatat satu bawah par 71 dalam cuaca berangin untuk mengumpul lapan bawah par 208 selepas 54 lubang di San Antonio, satu pukulan mendahului rakan senegara John Huh dan pemain Afrika Selatan Branden Grace.

“Saya berjaya kembali dalam saingan, mencari rentak dan berharap ia dapat diteruskan hingga esok (hari ini) dan kami akan berseronok,” kata Chappell.

Seorang lagi pemain AS, Ryan Palmer membuat 68 pukulan, catatan terendah pada hari itu untuk bangkit dari tangga ke-36 dan berkongsi tangga keempat dalam kelompok tujuh pemain yang mengumpul 210 pukulan keseluruhan termasuk pemain Scotland Martin Laird, pemain Australia Cameron Smith dan pemain Sweden Carl Pettersson.

Chappell, naib juara enam kejohanan PGA dan menduduki tangga ketujuh di Masters dua minggu lalu, membenam birdie di lubang ke-14 dan 17 sebelum melakukan putt sejauh 12 kaki untuk birdie di lubang ke-16 sekali gus mendahului saingan.

Ia susulan aksi tidak menentu Chappell di sembilan lubang pertama, yang bermula bogey-birdie dan melakukan perkara sama pada lubang keempat dan kelima sebelum double bogey pada lubang keenam dan menutup aksi sembilan lubang pertama birdie-bogey.

“Saya perlu mencari rentak,” kata Chappell. “Jelas sekali saya tercabar di lapangan golf ini.”

Chappell berterima kasih dengan birdie lewat permainan dan putt untuk par sejauh 10 kaki pada lubang ke-15 dan enam kaki pada lubang ke-18 yang membuatkannya menjerit kegembiraan.

“Melakukan birdie pada lubang ke-14, 16 dan 17 – dan kemudiannya berjaya mencatat par pada lubang ke-15 dan 18 – saya menunjukkan sedikit emosi dan membuktikan ia bermakna.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here