China haramkan artis bertatu, hip-hop disekat

0
19
Advertisement

BEIJING: Lembaga Penapisan China kini menjadikan budaya popular yang mewakili aspirasi orang muda sebagai sasaran terbaharu, termasuk menyekat muzik hip-hop dan mengharamkan penampilan selebriti yang bercacah tatu.

Ketika pengaruh program televisyen ‘Rap of China’ sedang meningkat di negara itu, artis hip-hop Wang Hao, atau dikenali sebagai ‘PG One’ dan Zhou Yan, yang terkenal dengan nama ‘GAI’ – telah disekat kemunculan mereka.

Mereka didakwa mempamerkan sikap dan cita rasa buruk serta mempromosi kandungan yang bertentangan dengan nilai tradisi dan prinsip Parti Komunis.

Sasaran penapisan ke atas hip-hop adalah bukti kongkongan yang lebih kuat terhadap budaya popular, pada ketika kepimpinan negara itu cuba mencari platform yang berpotensi untuk memenangi hati golongan muda.

Badan pemantau media republik itu, SAPPRFT, kini menggariskan bahawa setiap program yang disiarkan tidak boleh mempamerkan individu bertatu atau menunjukkan budaya hip-hop serta budaya jalanan lain yang ‘tidak wajar’.

Pengarah publisiti jabatan itu, Gao Changli, antara lain menegaskan tentang beberapa perkara yang ditegah – antaranya mengharamkan selebriti yang memiliki sifat yang tidak selari dengan nilai Parti Komunis, berperangai buruk, bermulut celupar, berideologi rendah, tiada kelas, terlibat dengan skandal dan mempunyai masalah moral.

Dalam tindakan terbaru, penyanyi rap PG One dipaksa membuat permohonan maaf kerana lagu yang dinyanyikannya dikatakan mempunyai lirik melampau.

Penyanyi GAI pula dilarang muncul dalam sebuah program hiburan yang sedang mendapat sambutan, namun tidak jelas sebab dan punca pihak atasan mengenakan hukuman itu.

Aktiviti penstriman muzik penyanyi terebut juga telah disekat dan dihapuskan dari dalam talian.

Agensi berita Xinhua turut melaporkan tentang perkara itu dan melabelkan budaya tersebut sebagai tidak sesuai dengan China.

Menurut laporan itu, budaya popular seumpamanya tidak boleh dijadikan ‘alat untuk seseorang melepaskan kemarahan, penderitaan dan mengadu domba’.

Penggiat industri seni dan muzik negara itu menganggap perkembangan terbaru itu sebagai tindakan mengarut oleh pemerintah, dan mencabul hak mereka untuk berkarya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here