China, Rusia boleh main peranan penting hentikan keganasan ke atas etnik Rohingya

0
28

KUALA LUMPUR: Negara-negara seperti China dan Rusia yang mempunyai pengaruh besar dalam hubungan politik dan ekonomi dengan Myanmar, perlu campur tangan dan menghentikan penghapusan sistematik ke atas etnik minoriti Rohingya, kata Pengarah Rangkaian Hak Asasi Manusia Burma (BHRN), Kyaw Win.

Dalam temubual eksklusif dengan Bernama News Channel (BNC) pada Jumaat, aktivis itu melahirkan keyakinan bahawa walaupun kedua-dua kuasa besar itu telah menjalin hubungan dengan Myanmar sejak beberapa dekad, sokongan itu mempunyai hadnya terutama apabila pencabulan hak asasi manusia jelas berleluasa di Myanmar.

“Saya percaya kedua-dua kuasa besar itu boleh memainkan paranan penting di sini kerana menyokong Myanmar mungkin menyebabkan imej kedua-dua negara itu sendiri tercemar di mata dunia.

“Walaupin ia agak mengecewakan melihat tidak banyak usaha buat masa ini oleh China dan Rusia untuk menghentikan keganasan), kami di BHRN mengalu-alukan mereka untuk menyaksikan sendiri apa yang berlaku. Dan jika ada mana-mana negara yang mempunyai keraguan, dengan menyatakan isu hanya rekaan, kami lebih daripada bersedia untuk mengemukakan cukup bukti dan maklumat,” kata Kyaw.

China baru-baru ini menyatakan sokongan kepada usaha kerajaan Myanmar untuk melindungi keselamatan negaranya dan menentang keganasan di Wilayah Rakhine baru-baru ini yang menyaksikan hampir 400 orang maut dalam pertempuran.

Negara lain seperti Britain, Perancis dan Australia, dan juga Malaysia, telah menggesa pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi pada Isnin untuk menghentikan keganasan dan penindasan ke atas minoriti Islam Rohingya.

Laporan yang dikeluarkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) awal tahun ini, menyatakan keterangan yang konsisten membayangkan beratus-ratus rumah, seolah, pasar, kedai, madrasah dan masjid Rohinya telah dibakar oleh pihak tentera, polis dan kadang-kala perusuh di kalangan orang awam dan menambah saksi-saksi juga menceritakan mengenai kemusnahan makanan dan sumber makanan termasuk sawah padi dan merampas ternakan”.

Seorang pegawai tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Zeid Ra’ad Al Hussein mengutuk operasi keselamatan yang dijalankan ke atas etnik Rohingya, dan menyifatkannya sebagai “pembersihan etnik”.

Ketika mengulas lanjut, Kyaw berkata isu itu sebenarnya bukan fenomena baharu kerana hakikatnya, tindakan berbentuk penindasan itu oleh kerajaan ke atas etnik minoriti telah berlarutan selama beberapa dekad.

“Pada 1963, kerajaan gtelah menggariskan enam objektif dalam strategi penindasan anti Islam iaitu tidak seorangpun seorang Muslim dibenarkan menduduki jawatan tertinggi dalam tentera, politik, parlimen, pendidikan dan polis. Dan seorangetnik Islam juga tidak dibenarkan mendapat pendidikan dan menjalankan perniagaan.

“Sekarang, ia lebih jelas mereka telah memperkenalkan Kad Pengesahan Negara (NVC). Bagi saya, ini satu perangkap kerana jika etnik Rohingya menerima pelaksanaan NVC, terdapat satu fasal yang menyatakan ia boleh dirampas jika pihak berkuasa mempunyai keraguan tentang bagaimana mereka memperolehnya. Perkataan ‘meragukan” sendiri adalah terlalu umum dan boleh disalahguna,” kata beliau.

Kyaw menjelaskan bahawa mereka yang menerima kad tersebut secara automatik dilucutkan status pribumi Rohingya, dan dengan itu hak kerakyatan etnik secara kelahiran terlucut dan hak penuh mereka sebagai warga Myanmar menghadapi risiko.

“Justeru, etnik Rohingya menghadapi risiko tidak mempunyai negara kerana kerajaan telah mengambil kewarganegaraan mereka. Oleh itu, hak penjagaan kesihatan, pendidikan dan hak asasi manusia yang lain secara serius telah dicabuli,” kata beliau.

Mengenai sikap membisu oleh Suu Kyi mengenai perkara ini, Kyaw berkata sikap Pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu sangat mengecewakan.

“Maksud saya, beliau diiktiraf di seluruh dunia sebagai pemimpin rakyat, dan rakyat sudah bersedia untuk mematuhi apa sahaja yang diarahkannya.. tetapi beliau sejkali lagi gagal (untuk menangani isu Rohingya). Malah, ia bukan sahaja gagal, tetapi ia gagal disebabkan beliau kerana beliau telah mengkhianati mereka yang telah berkorban untuknya, dan Suu Kyi juga telah menyalahguna sokongan antarabangsa yang diterimanya sebelum ini,” kata aktivis itu.

Dalam temu bual itu, Kyaw juga melahirkan penghargaan atas usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Malaysia, terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk mendapatkan keadilan bagi etnik Rohingya.

“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Najib kerana menunaikan janjinya untuk membangkitkan perkara itu semasa bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump baru-baru ini. Kami juga merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia, terutama mereka yang menyokong misi untuk memastikan hak asasi manusia etnik Rohingya dihormati,” kata beliau.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here