Chong Wei akur ketangkasan Kento

0
337
Advertisement



PERJUANGAN pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei di Terbuka Indonesia berakhir selepas tewas dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, sebentar tadi.

Chong Wei kali ini terpaksa akur apabila tewas di tangan bintang muda Jepun, Kento Momota 21-23, 12-21.

Ia adalah pertembungan kedua berturut-turut buat kedua-dua pemain itu dalam tempoh enam hari sejak aksi final Terbuka Malaysia, Ahad lalu yang menyaksikan Chong Wei mencatat kemenangan sekali gus merangkul gelaran ke-12.

Kekalahan itu juga menyaksikan Chong Wei yang pemain nombor empat dunia gagal dalam misinya merekodkan gelaran ketujuh Terbuka Indonesia sekali gus muncul pemain paling banyak menjadi juara sejak kejohanan diperkenalkan pada 1982.

Pemain berusia 36 tahun itu yang muncul juara pada edisi 2007, 2009, 2010, 2011, 2013 dan 2016 adalah pemain ketiga dan pertama bukan dari Indonesia yang meraih enam gelaran, berkongsi kedudukan bersama dua pemain Indonesia Ardy Wiranata (1990, 1991, 1992, 1994, 1995, 1997) dan Taufik Hidayat (1999, 2000, 2002, 2003, 2004, 2006).

Momota yang dalam misi memburu gelaran kedua Terbuka Indonesia selepas memenanginya pada 2015 akan menentang pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen dalam aksi final esok.

Axelsen yang tewas di tangan Chong Wei dalam aksi suku akhir Terbuka Malaysia, minggu lalu mara selepas menundukkan pemain China, Shi Yuqi 18-21, 21-14, 21-11.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here