Chong Wei 'gantung raket'?

0
122
Advertisement



 

JAGUH perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei dikatakan mengalami masalah kesihatan yang serius dan berkemungkinan besar terpaksa menamatkan kerjayanya sebagai pemain badminton bagi menjalani rawatan pemulihan.

Menurut sumber, pemain berusia 36 tahun itu ketika ini berada di Taiwan bagi mendapatkan nasihat pakar perubatan di negara berkenaan berhubung masalah kesihatan yang dialaminya.

Jika benar pemain nombor dua dunia itu terpaksa ‘menggantung raket’, penampilannya di Terbuka Indonesia yang menyaksikan dia terkandas di separuh akhir, 7 Julai lalu adalah kejohanan terakhir disertainya selepas 17 tahun mengabdikan diri sebagai pemain badminton kebangsaan.

Masalah kesihatan dialami Chong Wei mula menjadi tumpuan selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain berkenaan menarik diri daripada beraksi pada Kejohanan Dunia di Nanjing, China yang bermula Isnin ini dan Sukan Asia di Jakarta, Indonesia pada 19 hingga 28 Ogos depan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan badan induk itu Selasa lalu, Chong Wei disahkan mengalami masalah pernafasan dan dia perlu berehat selama sebulan bagi menjalani rawatan dan tidak boleh terbabit dengan sebarang aktiviti fizikal.

“Ini sememangnya berita yang menyedihkan apabila wira kita yang sudah banyak menyumbang dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa mengalami masalah kesihatan seperti ini. Semua orang pun tahu dia seorang atlet yang sentiasa menjaga kesihatan dan tahap kecergasannya.

 “Apa yang kita boleh lakukan sekarang adalah berdoa supaya Chong Wei segera pulih,” kata sumber itu.

Sementara itu, usaha bagi mendapatkan reaksi Chong Wei berhubung perkara itu gagal apabila dia yang dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp tidak memberikan sebarang jawapan.

Untuk rekod, sepanjang kerjayanya sebagai pemain badminton negara, dia sudah meraih 69 kejuaraan di pentas antarabangsa dan pencapaian terbaiknya adalah tiga kali meraih pingat perak Olimpik (2008, 2012 dan 2016) dan tiga kali muncul naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015).

Untuk seluruh rakyat Malaysia, inilah masanya untuk membalas segala jasa yang sudah disumbangkan Chong Wei sepanjang kerjayanya dengan mendoakan segala urusannya dipermudahkan dan dia kembali pulih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here