Chong Wei pergi mana?

0
22
Advertisement



HANYA berbaki tujuh hari sebelum Kejohanan Badminton Dunia akan membuka tirainya di Nanjing, China 30 Julai ini, penyertaan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dalam kejohanan berprestij itu mula menimbulkan tanda tanya.

Ini kerana, sejak seminggu lalu,  pemain nombor dua dunia itu tidak turun menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara dan ia sedikit sebanyak pastinya menjejaskan persiapannya dalam misi memburu gelaran sulung kejohanan itu.

Adakah Chong Wei mengalami kecederaan atau kecergasannya tidak berada pada tahap terbaik akibat keletihan selepas mengharungi dua kejohanan berturut-turut dalam tempoh dua minggu iaitu Terbuka Malaysia dan Terbuka Indonesia?

Di Terbuka Malaysia, dia berjaya merangkul gelaran ke-12 selepas menewaskan bintang muda Jepun, Kento Momota dalam aksi final manakala Terbuka Indonesia menyaksikan dia terkandas di separuh akhir susulan kekalahan di tangan lawan yang sama.

Kali terakhir Chong Wei ketika dihubungi bagi mendapatkan reaksinya berhubung undian Kejohanan Dunia adalah pada Rabu lalu dengan dia mengakui masih berehat di rumah dan tidak turun menjalani latihan.

Pada waktu itu, dia tidak menunjukkan sebarang tanda akan menarik diri, sebaliknya bertekad untuk memberikan aksi terbaik terutama apabila diundi sekali lagi bertemu pemain Perancis, Brice Leverdez pada pusingan pertama.

Namun, sehingga hari ini, pemain berusia 36 tahun itu difahamkan masih tidak turun menjalani latihan.

Mengenali Chong Wei, dia hanya akan bertindak sedemikian atas faktor tertentu kerana dia seorang pemain yang cukup komited mengenai latihan dan persiapan bagi menghadapi setiap kejohanan terutama kejohanan utama.

Bagaimanapun, ada kemungkinan dia akan menarik diri untuk aksi di Nanjing jika membuat keputusan untuk memberikan fokus sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia yang akan bermula 10 hari selepas tamat Kejohanan Dunia.

Berdasarkan usianya sekarang, sudah pasti amat sukar untuk Chong Wei beraksi dalam dua kejohanan dengan tempoh persiapan yang singkat.

Malah, sejak dari awal tahun ini, Chong Wei secara terbuka mengakui temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia adalah keutamaannya memandangkan ia akan menjadi penampilan terakhirnya.

Pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April lalu dia berjaya meraih pingat emas perseorangan lelaki dan untuk Sukan Asia, sudah tentu dia mengimpikan emas pertama buat dirinya pada temasya terbesar Asia itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here