Christie tuntut The Fighters konsisten

0
35
Advertisement



PEMAIN tengah FELDA United FC, Christie Jayaseelan percaya kelab itu akan muncul juara Liga Perdana musim ini berdasarkan pencapaian dicapai setakat ini.

Pemain berasal dari Selangor itu berkata, kelebihan 13 mata dengan pencabar terdekat, MIFA membuktikan The Fighters mampu mencapai misi berkenaan.

Namun, Christie berkata, kelab itu tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan kerana aksi liga masih lagi berbaki lima perlawanan.

“Oleh itu kami perlu mengekalkan keputusan positif ini untuk memastikan tiada pasukan yang boleh memintas kami pada baki lima saingan itu.

“Segala-galanya akan dilakukan untuk memastikan FELDA United menamatkan saingan liga dengan rekod cemerlang,” kata pemain berumur 32 tahun itu.

Selepas 15 perlawanan, FELDA United unggul di persada liga dengan 36 mata manakala MIFA yang juga pencabar terdekat dengan 23 mata.

Mengulas jaringan peribadi keenam dalam saingan Liga Perdana setakat ini, dia berterima kasih kepada pengurusan, kejurulatihan dan rakan sepasukan yang banyak membantu.

Katanya, pencapaian itu bukan untuk kepentingan peribadi tetapi kejayaan buat The Fighters yang ingin kembali beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

“Saya gembira dengan sentuhan gol FELDA United dan harap dapat meneruskan prestasi terbaik ini pada baki perlawanan akan datang.

“Fokus utama saya adalah membantu kelab ini kembali ke Liga Super dan pada masa sama The Fighters mengekalkan prestasi konsisten,” katanya.

Pada aksi menentang TFC II kelmarin, Christie menyumbang satu gol ketika menewaskan lawan 3-2 yang juga gol keenam peribadinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here