'Cinta Terakhir khas buat arwah bapa'

0
103


KUALA LUMPUR: Penyanyi, iR Radzi menulis lagu Cinta Terakhir khas buat arwah bapanya, Jamali Ellen, 61, yang meninggal dunia Ogos tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Penyanyi yang dilahirkan dengan nama Mohamad Shah Riadzi Jamali, 34, itu berkata, lagu berkenaan menjadi luahan dirinya sebagai anak yang begitu terasa akan kehilangan orang disayangi.

MOHAMAD Shah Riadzi Jamali. – Foto Zunnur Al Shafiq

“Arwah dianggap sebagai peminat nombor satu yang banyak menyokong perjalanan karier seni saya. Arwah tidak pernah jemu mengikuti promosi dan persembahan yang saya jayakan.

“Apabila ayah meninggal, saya berasakan kehilangan yang besar. Saya terpaksa mengambil masa agak panjang mencari semangat sebelum kembali bangkit dalam industri.

“Lagu Cinta Terakhir ini adalah luahan rasa saya sebagai anak yang rindu dan masih perlukan seorang ayah. Namun, Tuhan lebih menyayangi dirinya,” katanya ketika berkunjung ke Balai Berita, di sini.

Menurut penyanyi yang sebelum ini cukup dikenali dengan lagu Sempurna Waktu, beliau terasa bagai ada kekosongan dalam diri selepas kehilangan bapanya.

“Sebelum ini, dia selalu ada bersama saya. Realitinya, dia bukan saja seorang ayah tetapi juga teman dan kawan rapat,” katanya yang mengaku terpaksa melawan kesedihan demi ibu dan keluarga.

Lagu Cinta Terakhir adalah antara karya yang akan dimuatkan dalam album sulung beliau berjudul Sempurna yang dilancarkan secara digital di iTunes pada awal Mei lalu. Album fizikalnya pula dijangka akan dipasarkan pada Julai nanti.

Album terbabit mengandungi lapan lagu, terdiri daripada kompilasi singlenya sebelum ini dan juga empat lagu baharu. Lagu berkenaan ialah Kontra Analisa, Sempurna Waktu, Stay, Maafkan Aku, Bujang Duda, Cinta Terakhir, Tell Me Why dan Berikan Masa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here