Cinta unggas Dr Gino

0
34



[email protected]

Bukit Mertajam: “Kalau dibiar di hutan, adakah kita boleh jumpa semuanya sekali gus, malah saya jamin ia akan terbang sebaik kita menghampirinya,” kata pemilik Taman Burung Pulau Pinang Dr Gino Ooi, 62.

Dr Gino berkata, dia dilahirkan di kawasan kampung di Kulim, Kedah dan dibesarkan ibu dan bapanya di dalam kawasan ladang getah milik mereka.

Katanya, dia berminat dengan burung sejak kecil, malah ketika itu sudah membela pelbagai binatang yang ditemui dalam ladang bapanya.

“Kadang-kadang binatang seperti tupai, burung serta mamalia ini akan dibunuh pekerja ladang, jadi saya selamatkan dan pelihara binatang ini.

“Memang rumah saya ketika itu seperti zoo mini yang menempatkan pelbagai hidupan liar dan paling banyak dalam milikan saya ialah spesies burung,” katanya.

Menjawab tohmahan yang dilempar segelintir pihak, beliau berkata, jika burung berkenaan tidak dibela dan dipamerkan kepada orang ramai bagaimana kita ingin memberi pendidikan kepada anak-anak kelak.

“Kita tidak boleh mengharapkan burung ini ditemui dengan mudah di dalam hutan kerana ia liar dan akan melarikan diri sebaik didekati,” katanya.

Dr Gino berkata, sejak itu dia mula membela burung sehinggalah memiliki sebuah taman yang kini sudah menerima ratusan ribu pengunjung sejak mula beroperasi 30 tahun lalu pada 1987.

Menurutnya, pada mulanya dia mahu membuka taman burung berkenaan di Teluk Bahang, Balik Pulau di bahagian pulau namun kerajaan negeri ketika itu menasihatinya supaya membukanya di Seberang Perai berdasarkan perancangan membangunkan kawasan ini kelak.

“Ketika itu pihak berkenaan memberitahu bahawa jika operasi taman ini dilaksanakan di Teluk Bahang ia akan mengganggu ekosistem di kawasan berkenaan kelak dan mencadangkan kepada saya agar taman ini dibuka di Seberang Perai.

“Jadi itu sedikit sebanyak membuat saya bersemangat dan diberitahu bahawa kawasan sekitar Perai juga akan dibangunkan,” katanya.

Menurutnya, dia kini berpuas hati dengan apa yang terdapat di taman burung berkenaan dan sentiasa berharap ia akan menjadi tumpuan pelancong tempatan serta luar negara.

Katanya, kos menjaga semua burung berkenaan amat tinggi dan penjagaannya juga perlu mengikut spesifikasi yang ditetapkan pertubuhan antarabangsa.

“Semua perkara perlu diambil kira termasuk makanan, sangkar dan cuaca persekitarannya.

“Pekerja dan penjaga di taman ini juga perlu dilatih dan mendapat latihan yang sewajarnya,” katanya.

Menurut Dr Gino, setiap tahun dia membelanjakan jutaan ringgit bagi tujuan itu dan beberapa tahun lalu dia sudah menghabiskan RM3 juta bagi tujuan pengubahsuaian taman berkenaan.

Ditanya mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakannya sepanjang mengusahakan taman berkenaan beliau berkata, pernah berlaku kejadian semua ikan air tawar yang dibelanya mati sejurus dia mengalirkan air sungai yang terletak bersebelahan taman ke dalam kolam buatan di situ.

“Ketika itu, air di sungai berkenaan tercemar dengan bahan kimia sehingga menyebabkan ikan yang dibela di dalam kolam mati.

“Saya mengalirkan air sungai ke dalam kolam buatan, namun airnya tercemar sehingga menyebabkan ikan yang dibela mati seminggu selepas itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here