Cipta nama di Indonesia, Bront Palare belum terfikir berhijrah

0
70
Advertisement

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah mencipta nama di Indonesia, pelakon Bront Palarae belum terfikir untuk berhijrah ke negara jiran itu seperti yang dilakukan rakan-rakan pelakon yang lain.

Kata Bront, buat masa ini, dia selesa berkongsi bakat dengan peminat di tanah air sendiri, dan mahu terus berbakti kepada industri seni tempatan.

“Saya rasa kehadiran saya masih diperlukan di sini, dan saya mahu terus bekerjasama dengan pengkarya di tanah air sendiri.

“Dalam masa yang sama, saya juga akan sentiasa mencari peluang untuk bekerja dengan penggiat seni di luar negara, termasuk Indonesia kerana saya percaya, sebagai pelakon saya perlu sentiasa mencabar diri sendiri untuk cuba sesuatu di luar kebiasaan,” kata Bront.

Bront ditemui di majlis Tayangan Gala filem Ayat-Ayat Cinta 2 di GSC Pavilion, pada Isnin.

Bawa watak tentera Israel, saya tahu batas saya – Bront

Ditanya tentang watak Baruch, seorang tentera Israel yang dibawanya dalam filem tersebut, Bront mengakui tertarik dengan karakter tersebut yang disifatkan sebagai peluang sekali seumur hidup.

“Susah nak dapat watak sebegitu di Malaysia. Jadi apabila ditawarkan, saya tahu saya perlu menerimanya,” ujarnya.

Bront juga berharap tidak ada pihak yang akan menjadikan watak yang dipegangnya itu sebagai isu.

“Saya hanya melakonkan watak itu dari sudut pandangan mereka (tentera Israel), tiada kena mengena dengan akidah dan pegangan agama saya sebagai orang Islam.

“Penulis novel ini dan pengarah filem ini juga tahu saya beragama Islam, malah mereka sendiri beragama Islam. Tak mungkin mereka akan tawarkan watak itu kepada saya jika tidak sesuai, dan saya sendiri tahu batas saya,” tambahnya.

Selain Bront, seorang lagi pelakon Malaysia yang turut membintangi filem itu ialah Nur Fazura yang memegang watak Brenda.

Ayat-Ayat Cinta 2 dibintangi Fedi Nuril, Dewi Sandra, Chelsea Islan dan Tatjana Saphira sebagai teraju utama, dan akan mula ditayangkan di Malaysia 11 Januari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here