Cipta restoran mesra keluarga [METROTV]

0
83



Makkah (Arab Saudi): Dekorasi moden dan segar dengan ruang makan selesa dilengkapi pelbagai kemudahan menjadi keutamaan McDonald’s di Arab Saudi dan Malaysia dalam menyediakan persekitaran restoran yang mesra keluarga.

Fokus kedua-duanya adalah sama iaitu restoran berorientasikan keluarga selepas Reza Food Services (RFS) dari Arab Saudi yang menguasai 102 restoran McDonald’s di selatan dan barat Arab Saudi menjadi pemegang baru Lesen Pembangunan (DL) untuk pasaran Malaysia dan Singapura menerusi Lionhorn Pte Ltd bermula 1 Disember 2016.

Pengarah Urusan merangkap Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar yang menguruskan 260 restoran seluruh Malaysia berkata, pihaknya akan memperhebatkan servis kepada pelanggan keluarga, tetapi pada masa sama tidak meminggirkan pelanggan lain.

DUTA Khidmat Pelanggan (CSA) McDonald’s Malaysia melayan pelanggan di restoran yang juga antara inisiatif mereka untuk menyediakan perkhidmatan terbaik yang mesra keluarga.

“Kira-kira 50 peratus pelanggan McDonald’s adalah pelanggan keluarga. Jadi kita ada Duta Khidmat Pelanggan (CSA) dua hingga tiga orang setiap restoran untuk memberi layanan lebih mesra kepada keluarga.

“Dalam tempoh 10 tahun lagi, kita akan bina 200 restoran baru termasuk restoran bersendirian yang mempunyai bilik parti, menu Happy Meals, zon ruang makan berbeza untuk bujang dan keluarga serta tempat permainan kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di Restoran McDonald’s Putrajaya.

Azmir berkata, daripada 260 restoran sedia ada, 145 adalah restoran bersendirian yang mempunyai semua fasiliti berkenaan sesuai untuk pelanggan keluarga.

Pada masa sama, Azmir berkata, pemilikan baru DL oleh Lionhorn juga adalah peluang terbaik buat 12,000 kakitangan di bawahnya kerana boleh menimba pengalaman di luar negara.

“Mereka pastinya mempunyai impian untuk berjaya dan pengurus restoran yang biasanya lebih berpengalaman akan membantu mereka untuk lebih mahir dalam pekerjaan termasuk berkongsi masalah.

“Ada pengurus yang seperti bapa, kakak atau abang. Sama juga di pejabat korporat kerana pejabat saya sentiasa terbuka. Kita ada program Open Door, tak kira apa masalah yang berlaku setiap pekerja boleh berjumpa pihak atasan,” katanya.

SUASANA mesra keluarga jadi tumpuan restoran McDonald’s di Malaysia dan Arab Saudi.

Beliau turut menasihati kakitangan di bawahnya supaya sentiasa fokus untuk memajukan diri memandangkan peluang kerjaya di McDonald’s sentiasa terbuka luas.

“Saya bermula sebagai pelatih pengurusan pada Disember 1992 dan menjadi pengurus restoran setahun kemudian. Setahun di restoran saya dapat peluang bekerja di pejabat korporat sebagai pegawai hartanah selama 12 tahun sebelum berpeluang menjadi pengurus besar pada 2005.

“Saya kembali ke restoran untuk menjalani latihan semula selama enam bulan dan kru yang lebih muda tidak mengenali saya dan bertanya cukupkah nak tanggung keluarga apabila bekerja sebagai kru?” katanya.

Mengulas perkara sama, Pengarah Kanan Hal Ehwal Korporat RFS, Mohammed Alireza berkata, pelanggan keluarga menjadi penyumbang terbesar perniagaan mereka di Arab Saudi sejak beberapa tahun lalu.

“Pada masa hadapan, kami akan membina lebih banyak restoran bersendirian (Free Standing Drive-Thru) yang mempunyai tempat permainan dan juga ruang makan khas untuk keluarga.

“Di Arab Saudi, ibu bapa gemar membawa anak-anak keluar terutama di bahagian barat. Mereka bawa anak-anak ke restoran, jadi kami cuba yang terbaik untuk memenuhi keperluan mereka,” katanya.

TEMPAT permainan kanak-kanak untuk pelanggan keluarga di Arab Saudi.

Mohammed ditemui penulis semasa membuat lawatan ke McDonald’s di Jeddah, Madinah dan Makkah yang dimiliki RFS baru-baru ini yang turut disertai Azmir.

Usai pemilikan baru itu, Mohammed berkata, mereka kini bercadang untuk mewujudkan program pertukaran supaya dapat berkongsi pengalaman dan maklumat di antara kedua-dua negara.

“Peluang kerjasama ini sangat mengujakan. Mungkin kita akan bawa kru dan pelatih pengurusan dari Malaysia bekerja di Arab Saudi untuk tempoh beberapa tahun dan sebaliknya.

“Belum dimuktamadkan kerana hubungan ini masih baru, tetapi Bahagian Sumber Manusia ada rancangan memberi tajaan bekerja di Malaysia kepada pekerja terbaik,” katanya.

RUANG makan khas untuk pelanggan keluarga di McDonald’s di Badrani, Madinah.

Dalam pada itu, Mohammed berkata, selain pelanggan mereka turut menghargai 3,350 kakitangan yang terdiri daripada lebih 10 kewarganegaraan dan 1,000 warga tempatan.

“Walaupun berasal dari tempat berbeza, kami bekerja sebagai satu keluarga McFamily dan saling menghargai antara satu sama lain.

“Peranan mereka sangat penting dan saya sendiri faham kerana pernah menjalani latihan sembilan bulan di Dubai pada 2008 dan melakukan semua kerja di dapur sebelum menyandang jawatan pertama sebagai pengurus pemasaran,” katanya.

AZMIR (tengah) bersama Abdulrahman dan Mohammed serta kru McDonald’s di Awali, Makkah.

McDonald’s Arab Saudi turut menekankan konsep ketelusan mengenai semua operasi mereka di restoran apabila melaksanakan program Open Door pada Ahad hingga Rabu dari jam 4 hingga 6 petang di mana pelanggan boleh lihat sendiri apa yang dilakukan di dapur.

Operasi 102 McDonald’s di selatan dan barat Arab Saudi termasuk 12 restoran di Makkah dan 11 restoran di Madinah diterajui Abdulrahman Alireza sebagai Pengurus Besar RFS dibantu oleh Mohammed manakala McDonald’s Malaysia diuruskan sepenuhnya oleh Azmir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here