Colombia buka bidaan kesan kapal San Jose

0
20


BOGOTA: Colombia membuka bidaan untuk pelabur yang berminat mencari harta karun bernilai berbilion ringgit daripada sebuah bangkai kapal kurun ke-18 yang karam di pesisiran pantai Caribbean negara itu.

Kapal Sepanyol ‘San Jose’ adalah kapal utama dalam armada yang membawa emas dan perak kepada King Phillip V dan logam berharga itu mungkin diperoleh dari beberapa lombong penjajah di Peru dan Bolivia.

Bagaimanapun, ia tenggelam pada Jun 1708, ketika bertempur dengan kapal perang British dalam cubaan merampas kargonya, ketika Perang Pewarisan Sepanyol.

Hanya sebahagian kecil daripada 600 kru armada terbabit terselamat.

Justeru, Presiden Juan Manuel Santos mahu membentuk kerjasama swasta dan kerajaan untuk mendapatkan kembali harta daripada kapal karam itu, selain membina muzium, makmal kajian dan memelihara harta karun terbabit.

Colombia tidak menetapkan nilai rasmi bangkai kapal itu, namun menurut anggaran pakar pada 1980-an, harta karun itu bernilai lebih AS$10 bilion (RM42.81 bilion).

Pemburu harta karun sudah lama berusaha mengesan kapal San Jose yang disifatkan sebagai ibu segala bangkai kapal. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here