Courtois pergi mana?

0
477
Advertisement



PENJAGA gol Chelsea, Thibaut Courtois tidak menjalani latihan bersama pasukannya, sekali gus meningkatkan spekulasi membabitkan masa depannya yang kuat dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid.

Pemain kebangsaan Belgium berusia 26 tahun itu diberikan rehat tambahan selepas mengharungi kempen Piala Dunia di Russia yang menyaksikan negaranya meraih tempat ketiga.

Dia dijadual kembali menjalani latihan susulan kekalahan 0-2 Chelsea kepada Manchester City dalam aksi Piala Perisai Komuniti, semalam.

Courtois menyertai Chelsea dari kelab Belgium, Genk pada 2011 dan menghabiskan tiga musim berikutnya di Atletico Madrid selaku pemain pinjaman sebelum mengatasi Petr Cech sebagai pilihan utama di Stamford Bridge.

Dia berulang kali menyuarakan keinginannya untuk berpindah ke ibu negara Sepanyol itu untuk tinggal lebih dekat dengan dua anaknya dan kontraknya di Chelsea hanya berbaki setahun.

Jika perpindahannya tidak dimuktamadkan, Chelsea berisiko untuk kehilangan tonggak Belgium itu dengan nilai yang sudah merosot pada Januari atau percuma pada perpindahan musim panas depan.

Selain Courtois, Eden Hazard yang kontraknya akan tamat pada 2020 turut dikaitkan dengan perpindahan ke Real, tetapi penyerang Belgium itu berada di kem latihan pasukan di Cobham.

Bos Chelsea, Maurizio Sarri yang menggantikan Antonio Conte bulan lalu mengakui dia tidak pasti sama ada Courtois akan kekal. 

“Ketika ini, Courtois adalah penjaga gol kelab ini, Chelsea,” kata Sarri. “Saya tidak mengetahui mengenai masa depan. Ia bergantung kepada kelab. Saya juga berfikir ia juga banyak bergantung kepadanya. 

“Tetapi saya berharap yang Courtois akan menjadi penjaga gol kami. Penting untuk mengekalkan penjaga gol kami.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here