CPTPP akan beri Malaysia kelebihan saingan serantau – FMM

0
69
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perjanjian Komprehensif dan Progresif Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang baru ditandatangani, dijangka memberi Malaysia kelebihan daya saing di rantau ini serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berkata perjanjian itu menjanjikan tahap ketelusan dan peraturan pelaburan yang boleh dijangkakan, konsesi tarif dan saluran untuk menangani halangan bukan tarif bagi pengeluar tempatan.

“CPTPP dijangka mempelbagaikan eksport produk buatan Malaysia. Sebagai contoh, lebih 80 peratus daripada eksport peralatan automotif, terutama komponen getah, dijangka menikmati akses duti percuma serta-merta.

“Ini akan membantu pengilang komponen dan alat ganti Malaysia untuk mengeksport kepada pengeluar peralatan asli (OEM) negara anggota CPTPP seperti Mexico, dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global,” kata FMM kepada Bernama hari ini.

Persekutuan itu berkata konsesi tarif yang dipersetujui oleh setiap negara CPTPP akan meningkatkan eksport bagi industri elektrik dan elektronik.

Ia berkata pertumbuhan eksport juga dijangkakan di negara lain seperti Kanada dan negara Amerika Latin, terutama Mexico.

“Negara terbabit kini mengenakan tarif yang tinggi ke atas peralatan elektrik, peranti telekomunikasi dan elektronik pengguna.

Malaysia ialah peneraju pasaran bagi sarung tangan getah di Kanada, dan kedua di Peru dan Mexico selepas China. Barangan lateks, terutama sarung tangan getah, kekal sebagai penyumbang terbesar kepada eksport produk getah Malaysia.

“Memandangkan peningkatan dalam permintaan sarung tangan nitril di Kanada, penyertaan Malaysia dalam CPTPP akan memberi kelebihan daya saing kepada pengeluar sarung tangan negara ke atas negara bukan CPTPP seperti China,” katanya.

FMM berkata pengilang juga dijangka mendapat manfaat daripada kepelbagaian sumber input import dan komponen industri.

“CPTPP membolehkan penambahan sumber import bahan mentah yang lebih baik dari Jepun dan Mexico. Ia juga menyediakan sumber alternatif untuk jentera berat dan peralatan,” katanya.

Dari segi meningkatkan daya saing dan perdagangan, FMM berkata perjanjian itu juga dijangka membuka 10 peratus lagi perdagangan bebas duti dengan pasaran perjanjian perdagangan bukan bebas (FTA) baharu iaitu Kanada, Mexico dan Peru.

“Persaingan bukanlah sesuatu yang baru kepada perniagaan di Malaysia dan negara telah menyelesaikan tujuh FTA dua hala (Jepun, Pakistan, New Zealand, India, Chile, Australia dan Turki) dan lima FTA serantau melalui ASEAN (ASEAN dengan China, Korea, Jepun, India dan Australia-New Zealand).

Memandangkan majoriti perdagangan negara sudah dilindungi oleh FTA ini, kami yakin pengeluar berada dalam kedudukan yang baik untuk bertahan dengan pembukaan pasaran domestik,” katanya.

CPTPP, yang ditandatangani pada 8 Mac 2018, merupakan versi baharu pakatan perdagangan pelbagai hala Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Ia terdiri daripada 11 negara anggota, iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here