CPTPP dijadual dimeterai di Chile pada 8 Mac ini

0
19
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dijadual untuk dimeterai di Chile pada 8 Mac ini susulan kejayaan kesemua negara anggotanya mencapai persetujuan dalam empat isu-isu khusus negara, termasuk kepentingan Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bagaimanapun berkata tarikh itu perlu mendapat pengesahan rasmi kesemua menteri negara CPTPP.

“CPTPP akan mendatangkan manfaat kepada negara ini dari segi memperluaskan lagi pilihan terhadap barangan dan perkhidmatan di pasaran kita,” katanya.

Mustapa berkata Malaysia menjangkakan lebih banyak pekerjaan dapat diwujudkan hasil pelaburan berikutan peningkatan dagangan dan persekitaran pelaburan di bawah CPTPP.

“Kita berpuas hati dengan hasil mesyuarat ini dan para perunding (kita) sekali lagi berjaya mempertahankan kepentingan Malaysia,” katanya.

Mustapa berkata, beliau akan membentangkan hasil mesyuarat itu kepada Kabinet untuk dipertimbangkan serta menyambung semula proses penglibatan dengan pihak berkepentingan apabila mendapat kelulusan Kabinet.

Untuk rekod, ketua perunding 11 negara anggota CPTPP bertemu di Tokyo selama dua hari bermula 22 Januari lepas sebagai susulan mesyuarat peringkat menteri di Da Nang, Vietnam pada 10 Nov, 2017.

Mesyuarat Tokyo itu disifatkan berjaya selepas kesemua negara anggotanya mencapai persetujuan dalam empat isu khusus negara seperti syarikat milik kerajaan termasuk permintaan Malaysia membabitkan kelonggaran tambahan untuk melaksanakan pembelian pilihan bagi sektor huluan minyak dan gas.

Ini menyentuh komitmen untuk mengehadkan tempoh peralihan yang bermula dari tarikh ia berkuat kuasa berbanding tarikh pemeteraian sebagaimana diamalkan sebelum ini.

Perkara lain membabitkan akses pasaran bagi industri arang batu, sekatan dagangan berhubung penyelesaian pertikaian serta pengecualian bagi industri kebudayaan.

“Isu-isu ini sepatutnya diselesaikan lebih lewat lagi,” katanya.

Jelas Mustapa, sebelum mesyuarat Tokyo, sebanyak 20 peruntukan yang sepatutnya ditangguhkan di bawah CPTPP iaitu tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat sehingga kesemua negara anggotanya bersetuju untuk menarik balik keputusan penangguhan itu.

“Mesyuarat Tokyo itu juga bersetuju untuk menambah dua lagi perkara menjadikan 22 penangguhan dalam senarai itu. Salah satunya berhubung kelonggaran tambahan untuk Malaysia dalam sektor minyak dan gas (yang dinyatakan di atas) selepas usaha gigih kumpulan perunding kita bagi mempertahankannya. Perkara lain membabitkan akses pasaran untuk industri arang batu Brunei,” katanya.

Teks bahasa Inggeris perjanjian itu telah diperhalusi dan akan dikeluarkan selepas pengesahan teks bahasa Perancis dan Sepanyol yang dijangka beberapa minggu lagi.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here