CPTPP isyarat jelas Malaysia tentang perlindungan dagangan – Mustapa

0
120
Advertisement

Kuala Lumpur: Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang ditandatangani di Santiago, Chile pada Khamis disifatkan tepat pada masanya memandangkan dunia sedang menyaksikan sentimen perlindungan dagangan di beberapa negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia harus menjadi sebahagian daripada sistem ekonomi dunia, dan antara kaedahnya ialah menyertai perjanjian perdagangan di peringkat serantau dan global. 

“CPTPP memberi isyarat jelas komitmen kita terhadap sistem dagangan bebas dan terbuka.

“Apa yang dunia perlukan kini adalah aliran dagangan dan pelaburan lebih besar tanpa batasan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, meskipun tanpa penglibatan Amerika Syarikat (AS), Malaysia masih menerima akses pasaran besar daripada CPTPP terutama ke negara Kanada, Peru dan Mexico yang masih belum mempunyai perjanjian dagangan bebas.

“Penyertaan dalam CPTPP juga bakal menambahbaik tadbir urus kita dalam beberapa sektor ekonomi, mengukuhkan kerjasama ekonomi antara negara terlibat dan mempromosi standard dagangan antarabangsa.”

Tambahnya, CPTPP juga membantu Malaysia menangani cabaran persekitaran ekonomi global.

“Syarikat Malaysia juga bakal menikmati manfaat besar untuk pengembangan antarabangsa, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada rakyat Malaysia.

“Malah, penduduk Malaysia juga akan menikmati manfaat melalui penyediaan lebih banyak barangan dan perkhidmatan dalam pasaran,” ujar Mustapa.

Malaysia katanya sudah memulakan langkah pemindaan undang undang berkaitan bagi melengkapkan proses ratifikasi sebelum pelaksanaan penuh CPTPP dijalankan.

Mustapa berkata, dengan termeterainya CPTPP, pihak kementerian kini akan memberi tumpuan kepada Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

CPTPP dimuktamadkan pada 28 Januari, 2018 di Tokyo selepas 8 pusingan rundingan berlangsung sejak awal 2017 pasca penarikan diri AS dari Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

CPTPP ialah perjanjian perdagangan bebas TPP yang disemak semula, selepas AS menarik diri, meninggalkan 11 negara lain iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam, meraih manfaat menerusi perjanjian besar-besaran itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here