CPTPP: Malaysia masih belum pasti

0
287
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menyatakan pendiriannya terhadap Perjanjian Komprehensif Dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dalam masa terdekat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Darell Leiking berkata, ini merupakan salah satu perkara yang akan dibincangkan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan, yang baru dilengkapkan pada 2 Julai lalu.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada ia akan dibincang dalam mesyuarat Kabinet minggu hadapan.

CPTPP merupakan perjanjian perdagangan yang dirunding semula daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), selepas Amerika Syarikat menarik diri daripada TPPA.

Ia melibatkan baki 11 negara yang pada asalnya menandatangani TPPA iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Sekiranya berkuat kuasa, CPTPP akan merendahkan tarif import and eksport apabila kesemua 11 negara ini berdagang antara satu sama lain.

Perjanjian tersebut telah dipersetujui dan ditandatangani pada 8 Mac tahun ini, tetapi masih perlu melalui proses ratifikasi, iaitu proses pengesahan oleh setiap Parlimen negara yang terlibat.

“Anda semua tahu pendirian (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) berkenaan CPTPP sewaktu beliau berada di Jepun, tetapi beliau mash terbuka kepada banyak kemungkinan.

“Bagi masa sedikit, beliau akan buat keputusan dalam masa terdekat,” kata Darell.

9 Jun lalu, Tun Mahathir mendakwa CPTPP perlu dikaji semula memandangkan ia tidak mempunyai manfaat sama rata kepada negara kecil yang berada di dalam perjanjian tersebut.

“Ekonomi lebih kecil dan lemah perlu diberi peluang untuk melindungi produk mereka,” kata Perdana Menteri dalam temu bual bersama akhbar Jepun, Nikkei.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha MITI Datuk Isham Ishak mengesahkan CPTPP tidak lagi terbuka untuk pindaan, sekaligus bermakna setiap negara yang mahu menyertainya perlu mempersetujui setiap terma dan klausa di dalam perjanjian tersebut.

“Pihak kami perlu berkongsi sedikit lagi maklumat (dengan Tun Mahathir berkenaan terma dalam CPTPP) sebelum beliau boleh membuat keputusan jelas mengenai masa depan CPTPP di Malaysia,” kata Isham.

Katanya, beberapa undang-undang domestik juga perlu dipinda sekiranya Malaysia setuju menyertai CPTPP, yang dijangka berkuat kuasa pada Februari 2019 sekiranya cukup negara meratifikasinya.

Beliau bagaimanapun mengesahkan, negara tidak akan dikenakan sebarang penalti sekiranya ia menarik diri daripada perjanjan itu.

“Tiada penalti, cuma ada notifikasi. Kita perlu beri notifikasi dalam satu tempoh yang tertentu sebelum kita keluar daripada perjanjian tersebut,” kata Isham yang menambah Parlimen akan bersidang tiga kali lagi sebelum Februari 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here