Croatia bangga dalam tangisan

0
412
Advertisement



Moscow/Zagreb: Selepas menyaksikan pasukan mereka tewas 2-4 di tangan Perancis di final Piala Dunia di Moscow sebentar tadi, penyokong Croatia dilihat gagal menyembunyikan kesedihan dan mengalirkan air mata tetapi pada masa sama, mereka turut bangga apabila skuad itu berjaya mara hingga ke peringkat akhir.

Sejurus wisel penamat dibunyikan pengadil, penyokong yang menyaksikan perlawanan itu di dataran Ban Jelacic di ibu negara Zagreb, berpelukan sesama sendiri dengan perasaan bercampur baur.

Seorang wanita dilihat mengesat air mata rakannya dengan bendera merah putih Croatia sambil cuba menenangkannya.

Sebahagian lagi masih tetap mengibarkan bendera dan selempang masing-masing dengan rasa bangga selepas melihat wakil negara mereka beraksi di final Piala Dunia buat kali pertama.

“Perancis kelihatan lebih baik ketika keadaan genting dan kami membenarkan dua jaringan awal secara terlalu mudah. Bagaimanapun, ia satu pencapaian hebat dapat beraksi di final dan kami tetap berbangga dengan pasukan kami. Kami rasakan ia satu pencapaian yang hebat,” kata Darko Ilakovac, 59.

Croatia yang memiliki kerakyatan 4.2 juta, bukan pasukan pilihan di kejohanan empat tahun sekali itu. Langkah mereka ke final diiringi bayangan sekumpulan pelarian yang terpaksa berpindah dari satu negara ke negara lain gara-gara peperangan.

“Bagi sebuah negara yang memiliki kerakyatan empat juta orang, boleh dianggap sebagai satu yang hebat untuk melangkah ke final Piala Dunia,” kata Aleksander Ceferin yang juga presiden badan induk bola sepak Eropah, UEFA.

Croatia akan mengadakan majlis sambutan kepulangan skuad mereka di Zagreb hari ini. Ribuan penyokong Croatia dijangka berada di sekitar Zagreb ketika wira mereka dijangka tiba di tanah air.

Perdana Menteri, Andrej Plenkovic meminta semua majikan supaya membenarkan pekerja masing-masing untuk menyertai majlis sambutan berkenaan.

Harga tiket kereta api pula akan dikurangkan 50 peratus bagi mereka yang mahu ke Zagreb dari daerah lain di bandar Croatia ketika majlis terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here