Croatia terima sambutan 'juara'

0
344
Advertisement



RATUSAN ribu penyokong turun membanjiri ibu kota Zagreb hari ini untuk meraikan ketibaan pemain Croatia sejurus pulang daripada Russia selepas tewas dalam aksi final Piala Dunia.

Polis menganggarkan sekitar 550,000 penyokong menyambut pasukan yang dibawa berarak menggunakan bas tanpa bumbung daripada lapangan terbang ke tengah-tengah dataran utama di ibu kota berkenaan.

Ia mengambil masa kira-kira lima jam untuk bas itu tiba ke Dataran Jelavic tatkala ia bergerak perlahan melepasi deretan penyokong yang mengibarkan bendera, memakai jersi Croatia merah dan putih serta menyanyikan lagu-lagu kebangsaan mereka.

Sejak negara di bawah jajahan Yugoslavia itu merdeka pada 1991, hanya sekali Zagreb dilihat penuh dengan orang ramai iaitu ketika kunjungan Pope John Paul II pada 1994.

Malah, dianggarkan lebih daripada 100,000 orang memenuhi dataran itu untuk meraikan kejayaan skuad Vatreni yang diketuai kapten dan pemenang Bola Emas, Luka Modric.

“Hrvatska, Hrvatska!” sorakan itu bergempita sebaik pengendali Croatia Zlatko Dalic dan barisan pemainnya mula masuk ke pentas utama di depan skrin besar dengan tembakan confetti (kertas kecil) berwarna merah putih memenuhi ruang udara.

Pemain dan penyokong turut bersama menyanyikan lagu kebangsaan negara itu.

“Terima kasih Croatia, terima kasih Zagreb! Impian kita sudah tercapai,” kata Modric kepada penyokong.

Croatia mencipta sejarah baharu kali ini apabila mara kali pertama ke pentas final Piala Dunia, namun tumbang kepada Perancis 4-2 dalam perlawanan penuh menghiburkan di Stadium Luzhniki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here