Cuaca panas dorong bunuh diri

0
438
Advertisement



PLANET yang semakin panas boleh membawa kepada puluhan ribu kejadian bunuh diri menjelang 2050 di Amerika Syarikat (AS) dan Mexico sahaja, kecuali kepanasan global ditangani, menurut kajian yang disiarkan hari ini.

Penyelidik memeriksa data suhu beberapa dekad mengenai kadar bunuh diri di daerah di AS dan perbandaran Mexico, sebahagiannya sejak 1960-an dan mendapati cuaca lebih panas dikaitkan dengan peningkatan kes bunuh diri.

“Suhu lebih panas jelas bukan satu-satunya, atau faktor risiko paling penting bagi kes bunuh diri.

“Namun kajian kami menunjukkan kepanasan boleh memberi impak besar kepada risiko bunuh diri, dan perkara ini penting kepada pemahaman kita mengenai kesihatan mental selain apa yang perlu dijangka apabila suhu berterusan menjadi panas,” kata pakar ekonomi di Universiti Stanford, Marshall Burke.

Menurut analisis mereka, peningkatan 1 darjah Celsius suhu secara purata setiap bulan membawa kepada pertambahan 0.7 peratus dalam kadar bunuh diri di AS dan 2.1 peratus di Mexico.

Penyelidikan itu yang disiarkan dalam jurnal Natur Climate Change juga menganalisis bahasa digunakan dalam lebih setengah bilion tweet dan mendapati kadar bunuh diri dan nada kemurungan meningkat ketika cuaca panas.

Kajian mendapati jika kepanasan global tidak ditangani menjelang 2050, sekurang-kurangnya akan berlaku penambahan 21,000 kes bunuh diri di kedua-dua negara itu sahaja.

Kadar bunuh diri bertambah hampir di setiap negeri di AS sejak 1999 hingga 2016, dengan kadar peningkatan lebih 30 peratus di separuh negara itu, lapor Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Jun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here