Cuma sepasang baju baru

0
66



Walaupun tidak dapat bercuti panjang sempena Aidilfitri, ia bukanlah penghalang kepada Azira Shafinaz Ramlan menyambut hari raya dengan meriah.

Paling penting, dia masih berpeluang meraikan Syawal bersama keluarga dan sanak saudara.

Anggota kumpulan De Fam ini, hanya menyediakan sepasang baju baru berwarna kuning untuk dipakai pada hari raya pertama. Dia bersyukur kerana ada beberapa pereka fesyen yang menghadiahkannya pakaian.

“Sepanjang bulan puasa lalu, saya menjalani penggambaran drama 40 episod berjudul Villa Ghazara. Cuti raya saya tidak panjang dan kini kembali bekerja seperti biasa.

“Setiap tahun saya menyambut lebaran di Kuala Lumpur. Itu salah satu sebab saya tidak terlalu memilih bab pakaian. Saya suka yang sederhana tapi masih kelihatan elegan.

“Cukup sekadar dihiasi sedikit ‘lace’ di bahagian dada mahupun tangan, saya sudah berpuas hati. Walaupun saya cuma beli sepasang baju raya tetapi ramai pereka fesyen yang menghadiahkan baju siap untuk dipakai rekaan mereka. Secara tidak langsung, saya ada banyak baju raya sebenarnya,” katanya.

Selain pakaian yang dihadiahkan dan dibeli sendiri, Azira juga akan menggayakan pakaian siap untuk dipakai yang diusahakan oleh kakaknya, Azwin Shafinaz.

Menyukai rekaan diberi nama Suri Wrap Kurung, Azira turut membantu kakaknya tetapi dia menguruskan bahagian pemasaran dan menjadi model untuk jenama itu sendiri.

Antara pakaian yang perlu dijahit tempah ataupun siap untuk dipakai, wanita berusia 26 tahun itu memilih pakaian yang siap untuk dipakai. Baginya, ia lebih mudah dan tidak perlu menunggu lama.

“Saya lebih suka membeli baju-baju yang sudah siap berjahit. Saya hanya tinggal memilih rekaan dan warna disukai kemudian pilih saiz yang sesuai. Lebih mudah dan cepat.

“Kalau baju tempah, kena beli kain dan hantar ke tukang jahit. Terpaksa menunggu kira-kira dua atau tiga minggu barulah baju itu akan siap. Bertuah kalau baju yang disiapkan itu menepati yang kita mahu. Andai sebaliknya, kita sendiri yang akan sakit hati.

“Bagaimanapun, kalau dipakai untuk majlis tertentu, saya memilih untuk menempah baju kerana kita dapat berbincang dengan pereka fesyen rekaan yang sesuai untuk tema sesebuah acara itu,” katanya.

Berkesempatan mengadakan majlis berbuka puasa bersama peminat, pelakon yang mula yang mula dikenali menerusi drama bersiri Married Tapi Benci itu gembira dan terharu kerana ada peminat sanggup datang dari jauh semata-mata mahu menghadiri acara terbabit.

Bagaimanapun, dia masih tidak pasti sama ada berpeluang mengadakan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri atau pun tidak. Kekangan masa kerja membuatkan ada beberapa aktiviti lain yang terpaksa ditangguhkan.

Selepas membintangi beberapa drama seperti Mimpi Mira dan Mr Donat Karamel, lakonan Azira mendapat maklum balas positif hingga disenaraikan lima terbaik kategori Pelakon Baharu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH 30.

Katanya, rezeki itu bukanlah bermakna dia lebih popular jika dibandingkan dua lagi anggota De Fam, Manggis atau Nurshazwani Shamsuddin dan Sophia (Sophiatul Liana Mohamed Sobri).

“Pencalonan itu bukan penentu populariti saya melebihi Manggis dan Sophia. Setiap anggota De Fam mempunyai keistimewaan tersendiri dan masing-masing dikenali kerana kelebihan itu.

“Mungkin umum beranggapan saya lebih popular kerana kerap muncul di kaca televisyen. Tetapi, saya rasa kami semua sama rata. Setiap seorang dikenali kerana kelebihan masing-masing.

“Saya tidak menganggap diri saya lebih popular berbanding mereka. Kami sama-sama bergerak sebagai De Fam dan sampai bila-bila pun, saya tetap mahu dikenali sebagai anggota kumpulan itu,” katanya.

Memantapkan lagi lakonannya, Azira menimba ilmu dari pelakon veteran Ogy Ahmad Daud dan Izreen Azminda ketika menjalani penggambaran telefilem Kembalikan Syawal yang ditayangkan pada hari raya kedua.

Dia juga menyimpan hasrat untuk ‘berguru’ dengan Ellie Suriaty yang juga idolanya dalam dunia seni lakon. Azira bakal muncul dengan drama sempena Awal Muharam berjudul Nur Tiga Pagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here